Menuju PRN Sabah: SMJ 2.0 perlukan kestabilan, dasar yang konsisten

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memasuki fasa persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan keyakinan tinggi apabila semua parti komponen dilaporkan berada dalam keadaan harmoni dan bersatu, sebagaimana dinyatakan oleh pengerusinya Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Sambil menyambut baik kenyataan itu Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan, turut menegaskan sokongan penuh partinya terhadap kepimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri di samping menyatakan komitmen untuk memastikan kemenangan GRS dalam PRN akan datang demi kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di negeri ini.

“Pelaksanaan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dari 2021 hingga 2025 telah membuktikan keberkesanan dasar-dasar kerajaan negeri dalam memacu ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Kini kita bersedia melangkah ke fasa SMJ 2.0 (2026–2030) yang memerlukan kestabilan politik sebagai asas utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, isu-isu legasi seperti bekalan air, elektrik, dan infrastruktur jalan raya tidak boleh dibiarkan berlarutan dan memerlukan pentadbiran yang stabil serta dasar konsisten untuk penyelesaian jangka panjang, yang hanya boleh dicapai dengan mandat yang kuat kepada GRS.

Nizam juga menegaskan bahawa Gagasan Rakyat akan terus memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan GRS, mempererat kerjasama antara parti komponen, dan menyampaikan mesej perpaduan serta kemajuan kepada rakyat Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *