Saya terasa seperti hendak ketawa terguling-guling apabila membaca kenyataan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah Masiung Banah yang berbunyi “Pembangunan Sabah berisiko gagal sekiranya rakyat mengambil risiko menukar kerajaan terutama yang telah berkhidmat baik seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”(Rujuk di sini)
Masiung juga berkata, GRS sudah mempunyai perancangan sedia ada untuk diteruskan berbanding pentadbiran baharu.
Menurutnya, kerajaan baharu biasanya memerlukan tempoh dua hingga tiga tahun untuk menyusun pentadbiran yang akan memberi kesan kepada rakyat.
Ayat-ayat klise begitu sebenarnya adalah skrip lama yang boleh didengar setiap kali menjelang pilihan raya umum . Ia sebetulnya hanya bersandar pada logik rapuh, yang tujuan asalnya tidak lain daripada menakut-nakutkan rakyat secara psikologi.
Dalam sistem demokrasi, menukar kerajaan bukan sahaja dibolehkan, malah merupakan cerminan politik yang sihat. Bila rakyat tak puas hati, bila pentadbiran sedia ada gagal, bila isu bertimbun tetapi jawapannya ‘hampeh’ dan mem’paluikan’ orang, pilihan raya adalah mekanisme untuk reset semula mandat.
Kalau ada pihak kata tukar kerajaan itu meninggalkan kesan buruk pada Pembangunan, ia hanyalah cerminan kepada kebimbangan terhadap keupayaan sendiri. Banyak negara maju yang kerap bertukar kerajaan, tetapi ekonomi dan pembangunannya hidup segar juga. Kalau benar pertukaran kerajaan merencatkan pembangunan, Jepun, Itali, Australia dan United Kingdom sepatutnya sudah hancur berderai. Di Jepun, kadang-kadang perdana menteri bertukar setiap satu atau dua tahun, tapi negara itu tetap antara ekonomi ketiga terbesar dunia.
Hujah Masiung mengatakan kerajaan baharu perlukan dua hingga tiga tahun untuk membuat perancangan adalah hujah yang lemah. Kalau macam kerajaan GRS, memang logik. Banyak menghabiskan masa memancing sokongan. Tetapi secara umumnya kerajaan baharu mana pun tidak memerlukan masa begitu lama sebab dasar negeri sudah siap kerangkanya, manakala perkhidmatan awam profesional pula memastikan kesinambungan tanpa mengira siapa pun yang memerintah.
Pertukaran kerajaan menjadi perlu apabila rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan yang ada semakin tidak terbendung. Itu yang berlaku di Sabah sekarang. Buktinya? Seramai 596 dari 24 buah parti bertanding dalam PRN17 ini. Daripada jumlah itu yang berpuas hati dengan GRS tentulah calon-calonnya sendiri yang berjumlah 55 orang. Selebihnya, 541 calon lagi adalah mereka yang tidak berpuas hati. Kalau orang suka pada GRS sudah tentulah jumlah calon yang bertanding tidak sebegitu ramai. Kalau semua orang suka pula tentu di semua kerusi GRS menang tanpa bertanding.
Jadi nasihat saya, berhentilah menggunakan taktik propaganda lapuk, Carilah naratif lain. Sesungguhnya Sabah berhak kepada kerajaan yang terbaik, bukannya kerajaan yang takut ditukar.
Oleh: Tulus Budiman
