KOTA KINABALU: Pejabat Mufti Negeri Sabah menafikan dakwaan bahawa Mufti dan Timbalan Mufti negeri ini terhidu bau haruman daripada jenazah Zara Qairina Mahathir, sebagaimana yang didakwa dalam sebuah video tular di media sosial.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, dakwaan itu sama sekali tidak benar, tidak berasas serta boleh mencemarkan nama baik institusi mufti negeri ini.
“Pejabat Mufti Sabah ingin menegaskan Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti tidak terlibat semasa proses penggalian,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau turut menggesa pihak terlibat menarik balik dakwaan tersebut serta memohon maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang dilaksanakan.
“Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut.
“Pejabat Mufti Sabah juga berharap kenyataan ini dapat menjelaskan kedudukan sebenar dan menghentikan sebarang salah faham berkaitan isu berkenaan,” katanya sambil menasihatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.
Terdahulu, tular di laman sosial media sebuah video ‘penggali kubur’ berdurasi 46 saat di media sejak minggu lalu, yang mendakwa Mufti dan Timbalan Mufti Sabah terhidu haruman pada jenazah Zara Qairina ketika proses penggalian semula kubur pelajar berkenaan.
Kubur Zara Qairina digali semula pada 9 Ogos lalu seperti diarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan ke atas jenazah pelajar berkenaan.
