KALABAKAN: Sabah yang kaya dengan sumber semula jadi serta memiliki keluasan 73,610 kilometer persegi sebagai negeri kedua terbesar di Malaysia seharusnya jauh lebih maju berbanding kedudukan semasa.
Calon PERIKATAN NASIONAL bagi DUN Tanjung Batu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Ahmad Dullah berkata, negeri ini terus berada dalam kelompok kedua termiskin di Malaysia akibat ketidaktelusan dalam menguruskan dana dan peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan.
“Kegagalan mengurus kewangan dengan amanah turut membuka ruang kepada kegiatan rasuah yang berleluasa sekali gus menjejaskan pembangunan rakyat dan kemajuan negeri.
“Peruntukan sebanyak RM17.6 bilion yang diterima Sabah baru-baru ini sangat cukup, bahkan mampu memberikan impak besar sekiranya diurus secara telus dan berintegriti,” katanya dalam ceramah kelompok UDM Keramat.
Tambahnya, isu kemiskinan di Sabah tidak akan dapat ditangani selagi wujud pemimpin yang tamak dan mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan rakyat.
“Amanah yang dipikul oleh setiap pemimpin adalah satu tanggungjawab besar yang akan menentukan sama ada pembangunan negeri benar-benar sampai kepada rakyat atau terus bocor di tengah jalan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Ahmad menyeru agar rakyat Sabah memilih pemimpin yang berintegriti, jujur dan amanah dalam menguruskan hal ehwal kerajaan negeri pada PRN kali ini.
“Masa depan negeri ini terletak di tangan rakyat,” katanya yang berdepan dengan empat lagi calon di DUN Tanjung Batu. – HARAKAHDAILY
