KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa rakyat kini semakin bijak dalam menilai calon dan pemimpin politik, bukan lagi bersandarkan kepada ucapan atau populariti semata-mata, tetapi kepada keikhlasan, kerja dan hasil yang ditunjukkan.
Menurut beliau, ramai yang mahu menjadi calon dalam pilihan raya akan datang dengan pelbagai sebab — ada yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat, dan tidak kurang juga yang mengejar kedudukan serta kepentingan peribadi.
“Rakyat berhak menilai,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Salleh turut mengingatkan agar masyarakat berhati-hati dengan calon yang hanya pandai menonjolkan diri di khalayak atau majlis rasmi.
Katanya, kerap muncul di pentas awam tidak semestinya membuktikan seseorang itu benar-benar komited terhadap perjuangan rakyat.
“Pemimpin sejati ialah mereka yang mendengar, memberi maklum balas dan sentiasa berhubung dengan rakyat — bukan yang menyerahkan urusan kepada staf atau wakil semata-mata,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa rakyat kini lebih menghargai pemimpin yang berkorban masa dan tenaga untuk membantu masyarakat, termasuk golongan muda dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bukannya mereka yang sekadar turun meminta sokongan menjelang pilihan raya.
“Rakyat mahu pemimpin yang ikhlas berkhidmat, bukan yang sekadar berlakon mesra,” tegasnya.
Salleh turut menyeru rakyat menilai calon dan parti secara menyeluruh sebelum membuat keputusan, dengan memilih mereka yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat dan negeri.
