LIBARAN: Ketua Penerangan UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, menegaskan bahawa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini memberi peluang besar kepada rakyat untuk menilai semula kegagalan pentadbiran terdahulu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut beliau, kerajaan yang dibina atas dasar kompromi dan kepentingan peribadi akhirnya tumbang di bawah beban ketidakpercayaan rakyat.
“Lebih besar daripada kegagalan pentadbiran itu ialah hakikat bahawa Ketua Menteri terdahulu, Datuk Seri Hajiji Noor, mencipta sejarah sebagai Ketua Menteri pertama Sabah yang disaman di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Suhaimi berkata, saman sivil bernilai RM1.4 bilion oleh Sabah Forestry Industries Sdn. Bhd. (SFI) bersama pihak pengurus penerimanya terhadap Kerajaan Negeri Sabah yang difailkan pada Mac 2025, menamakan Hajiji sebagai defendan utama.
Dalam saman tersebut, SFI mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasa sebagai Ketua Menteri dengan campur tangan terhadap keputusan pembatalan konsesi balak syarikat itu sebelum mengagihkan semula kawasan berkenaan kepada syarikat lain iaitu tindakan yang didakwa menyebabkan kerugian besar serta mencemarkan reputasi syarikat terbabit.
“Persoalannya, bagaimana seorang bekas Ketua Menteri yang sedang berdepan saman sivil dan siasatan berkaitan salah guna kuasa boleh menuntut semula kepercayaan rakyat untuk memimpin Sabah?” soal beliau.
Tambahnya lagi, rakyat Sabah tidak boleh kembali ke era kepimpinan yang menjadi liabiliti politik, undang-undang dan moral kepada negeri ini.
“Kerajaan GRS terdahulu bukan sahaja gagal mengangkat ekonomi dan infrastruktur negeri, malah menyeret maruah pentadbiran Sabah ke kancah kehinaan. Ia adalah kerajaan yang sarat dengan liabiliti moral, liabiliti undang-undang dan liabiliti kepercayaan rakyat.”
Suhaimi menegaskan, sudah tiba masanya rakyat memilih kepimpinan yang benar-benar berwibawa, berintegriti dan berpaksikan rakyat iaitu bukannya kelompok elit yang menyalahgunakan amanah rakyat.
“Barisan Nasional (BN) berdiri teguh bersama rakyat Sabah untuk memulihkan semula maruah pentadbiran negeri agar Sabah tidak lagi dikenang kerana skandal, tetapi dihormati kerana kejujuran, kemajuan dan integriti kepimpinannya,” katanya lagi. – UMNO Online
