KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa parti politik hanyalah alat, manakala individu yang memimpin adalah penentu sebenar hala tuju dan kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, rakyat harus memberi kepercayaan kepada pemimpin yang benar-benar anak jati Sabah dan ikhlas berkhidmat, bukan semata-mata kerana lambang parti.
“Semua parti, sama ada tempatan atau nasional, didaftarkan di bawah undang-undang yang sama. Menggunakan nama ‘Sabah’ dalam parti tidak semestinya bermakna mereka membawa manfaat sebenar untuk rakyat.
“Apa yang rakyat mahu ialah tindakan – jalan yang lebih baik, peluang kerja, kos sara hidup yang munasabah, dan pembangunan yang nyata,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Salleh, yang juga ADUN Usukan, turut mengulas berkenaan perjuangan berterusan rakyat Sabah dalam isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang menurutnya mesti diterjemahkan kepada hasil sebenar seperti lebih kuasa autonomi, peruntukan yang adil, dan penghormatan kepada hak negeri.
“Perjuangan MA63 bukan soal siapa paling lantang bersuara, tapi siapa yang benar-benar berjaya capai sesuatu untuk Sabah,” ujarnya lagi.
Beliau turut menyeru rakyat agar menilai pemimpin berdasarkan komitmen dan integriti mereka, dan bukan semata-mata parti yang diwakili.
“Orang Sabah boleh memimpin di mana-mana, asalkan tidak lupa siapa yang mereka wakili. Prinsip ‘Sabahan No. 1’ bermaksud mengutamakan rakyat Sabah dalam setiap keputusan – membela hak mereka, mengangkat suara mereka, dan membanggakan mereka melalui kerja sebenar, bukan slogan kosong,” tegasnya.
Salleh turut menyeru rakyat agar sedar bahawa masa depan Sabah terletak di tangan mereka sendiri – melalui pilihan dan nilai yang mereka perjuangkan.
