Notis tunjuk sebab kepada Shafie Apdal siap untuk diserah – Pengarah Pendakwaan Sabah

KOTA KINABALU: Notis tunjuk sebab terhadap Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kes pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, telah siap untuk diserahkan.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Pendakwaan Sabah Nahra Dollah yang bertindak sebagai pegawai pengendali inkues kematian remaja itu, kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Namun, Nahra berkata, pihaknya tidak pasti bila notis berkenaan akan diserahkan kepada ahli politik itu.

Pada Isnin lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa pihaknya sedang meneliti kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohd Shafie berhubung kes Zara Qairina.

Jabatan berkenaan memandang serius kenyataan yang dikeluarkan Mohd Shafie semasa berucap di majlis Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September 2025.

Menurut kenyataan AGC, jabatan berkenaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian itu selesai.

Sebelum ini, rakaman video pada satu majlis makan malam yang tular memaparkan Mohd Shafie mempersoalkan tempoh panjang prosiding inkues bagi menentukan punca kematian pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar itu.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi 16 Julai. Pada 13 Ogos, AGC mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan oleh polis dan setakat ini, 10 saksi termasuk dua kanak-kanak telah memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Sebelum itu pada 8 Ogos, AGC telah mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – BERNAMA

 

UPDATE:

KOTA KINABALU – Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kenyataannya mengenai prosiding inkues kematian remaja, Zara Qairina Mahathir.

Mohd Shafie berkata, surat berkenaan diserahkan kepadanya semalam dan beliau diberikan tempoh tujuh hari untuk memberikan jawapan.

“Saya telah menerima surat tunjuk sebab daripada AGC berkaitan kenyataan saya sebelum ini. Saya akan beri jawapan dalam masa yang ditetapkan,” katanya dalam sidang media Parti Warisan di sini, hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *