Ops Gasak: Bung Moktar gesa pendekatan yang lebih telus dan jelas

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup diseru mengamalkan pendekatan yang lebih telus dan bertanggungjawab dalam menguatkuasakan Ops Gasak, khususnya mengenai keperluan premis makanan menggunakan silinder gas petroleum cecair (LPG) komersial.

Membangkitkan mengenai perkata itu Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata kekurangan kejelasan mengenai operasi itu telah menyebabkan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan pengusaha kecil makanan, terutamanya di Sabah.

“Rakyat Sabah, terutamanya peniaga kecil dalam sektor makanan, kini cemas dan tidak pasti mengenai langkah kementerian untuk mewajibkan penggunaan LPG komersial untuk premis makanan.

“Kebimbangan ini berpunca daripada kekurangan maklumat yang jelas dan komprehensif mengenai pelaksanaan Ops Gasak, menyebabkan salah faham dan kegelisahan dalam kalangan perniagaan makanan kecil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Ketua Barisan Nasional Sabah itu juga menyeru agar kementerian lebih telus, menegaskan bahawa sebarang kelemahan atau kekeliruan dalam pelaksanaan tidak boleh disembunyikan tetapi ditangani secara terbuka dan bertanggungjawab.

Mendesak kementerian untuk menangani kebimbangan awam melalui pendekatan yang lebih inklusif dan mesra peniaga, beliau menambah bahawa kerajaan negeri juga harus memainkan peranan proaktif dalam menjelaskan perkara itu kepada orang ramai, terutamanya dalam menyediakan maklumat lengkap dan membantu peniaga kecil dengan proses permohonan Permit Barangan Kawalan Berjadual (PBKB).

Beliau menegaskan bahawa jika kerajaan percaya gas memasak domestik tidak lagi sesuai digunakan di premis makanan tertentu, maka rasional, garis panduan, dan syarat penguatkuasaan mesti digariskan dengan jelas.

“Ini akan mengelakkan kekeliruan dan ketidakadilan dalam pelaksanaan,” katanya.

Bung Moktar seterusnya menekankan kepentingan mengimbangi penguatkuasaan peraturan dengan realiti di lapangan.

“Keseimbangan ini adalah kunci kepada pentadbiran yang berkesan dan kesejahteraan rakyat. Saya menggesa semua pihak yang terlibat untuk menunjukkan komitmen yang lebih besar dalam menangani isu ini dengan teliti, adil, dan bijaksana,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *