KOTA KINABALU: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak boleh “dibeli” dengan sebarang bentuk pemberian, termasuk roti Gardenia atau wang ringgit.
“Pesanan saya, orang Sabah bukan boleh disogok-sogok. Bukan boleh dijual beli. Orang Sabah bukan orang yang murah,” katanya sebagaimana dipetik Sinar Harian.
Aliakbar dilaporkan berkata demikian menerusi satu video yang dimuat naik di laman sosialnya.
Video itu dipercayai sebagai respons kepada isu tular membabitkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah yang mendakwa kempen di Sabah hanya memerlukan pemberian roti Gardenia.
Beliau berkata rakyat Sabah mempunyai maruah dan membuat keputusan berdasarkan pertimbangan akal serta penilaian sendiri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Aliakbar turut menyeru pengundi supaya memilih PN pada pilihan raya akan datang.
Sementara itu di Kedah, Exco Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Mansor Zakaria, dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan beliau sebelum ini yang didakwa menyinggung perasaan rakyat Sabah.
Mansor menarik balik ucapannya selepas video beliau tular, menunjukkan beliau menyebut seolah-olah usaha meraih sokongan rakyat Sabah semudah memberi roti Gardenia.
Beliau menjelaskan bahawa kenyataan tersebut tidak bertujuan menghina mana-mana pihak dan dibuat ketika membahaskan perbandingan melibatkan isu ceramah politik.
Permohonan maaf itu dibuat selepas kenyataan berkenaan menerima reaksi pelbagai pihak yang menganggap ia menghina rakyat Sabah.
