KOTA KINABALU: Mereka bukan berpakaian perang, tidak memegang senjata, namun mereka adalah pahlawan tanpa senjata, berjiwa merdeka.
Itulah ungkapan penuh penghargaan yang dilontarkan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah, Hendri Hamsah, dalam Himpunan Pendidik & Hari Guru Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang berlansung di sini.
Katanya, majlis itu menjadi penutup kepada satu hari yang padat dengan program bermakna dengan meraikan para pendidik, guru-guru yang saban hari mendidik anak-anak umat dengan sabar, tabah, dan ikhlas.

Beliau mengingatkan bahawa tugas seorang guru jauh lebih besar daripada sekadar mengajar di kelas.
“Guru bukan hanya pengajar, tapi penentu arah umat.
“Apa yang kita ucapkan dan tunjukkan hari ini, akan membentuk siapa anak-anak kita esok. Jangan pernah rasa kecil di depan papan putih, kerana madrasah kecil pernah lahirkan pemimpin besar,” tegas Hendri.
Beliau juga menyeru para guru untuk terus memimpin dan menyumbang di luar bilik darjah.
“Menulislah, bersuaralah, libatkan diri dalam dakwah. Jadilah guru yang masyarakat cari, bukan sekadar hadir mengajar. Kemenangan Islam bermula dari jiwa-jiwa yang ikhlas, yang sanggup berjuang dalam senyap,” katanya lagi.
Katanya lagi, Dewan Pemuda PAS Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh guru PASTI, SRITI, dan SMITI yang terus istiqamah mendidik generasi rabbani. Mereka adalah bukti bahawa kemenangan Islam lahir dari papan putih, tangan yang sabar menulis, dan jiwa yang terus berjuang.
