Pan Borneo antara bukti keprihatinan BN, realitikan pembangunan untuk rakyat – Mohd Rafi

KOTA KINABALU: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menegaskan bahawa projek Lebuh Raya Pan Borneo merupakan bukti jelas kesungguhan dan keikhlasan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan negeri Sabah serta memastikan rakyat menikmati kemajuan dan kesejahteraan yang seimbang.

Menurut beliau, projek berimpak tinggi itu yang dicetus dan dilaksanakan oleh kerajaan BN dahulu bukan sekadar pembangunan infrastruktur semata-mata, tetapi satu simbol komitmen BN terhadap kemajuan rakyat termasuklah di Sabah dan Sarawak.

“Projek Pan Borneo adalah antara jasa terbesar BN kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Ia bukan sekadar jalan raya, tetapi nadi penghubung ekonomi, membuka peluang pekerjaan, mempercepatkan aliran perdagangan, serta meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Mohd Rafi berkata, di Sarawak, Pan Borneo berjaya disiapkan 100 peratus di bawah pelan pentadbiran BN kerana wujud kesinambungan dan kestabilan politik ketika itu.

Namun katanya, di Sabah, projek berkenaan tergendala dan tidak dapat disiapkan sepenuhnya selepas berlaku perubahan kerajaan.

“Apabila pentadbiran bertukar tangan, banyak perancangan yang telah disusun oleh BN terbantut. Pan Borneo di Sabah adalah contoh paling ketara bagaimana projek yang sepatutnya membawa manfaat besar kepada rakyat akhirnya tergendala kerana tiada kesinambungan pembangunan dan kerajaan yang mengambil alih gagal,” ujarnya.

Beliau menambah, rakyat kini dapat menilai siapa sebenarnya yang benar-benar bekerja dan menunaikan janji, serta siapa yang sekadar menabur janji politik tanpa hasil nyata.

“BN sudah terbukti mampu mentadbir dan membangunkan negeri ini. Kita bukan hanya bercakap, tetapi bekerja dengan hasil yang rakyat boleh lihat dan rasai. Pan Borneo adalah bukti nyata bahawa BN sentiasa menepati janji dan mendahulukan rakyat dalam setiap dasar,” tegasnya.

Justeru, Mohd Rafi menyeru rakyat Sabah agar menggunakan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai peluang untuk mengembalikan mandat pentadbiran kepada BN, demi memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dapat diteruskan secara konsisten dan terancang.

“Sudah sampai masanya rakyat Sabah memberikan semula kepercayaan kepada BN. Kita ingin melihat semula kesinambungan pembangunan, kestabilan, serta keadilan agihan ekonomi yang benar-benar berpaksikan kepada kepentingan rakyat.”

Beliau turut menegaskan bahawa BN tidak akan berhenti memperjuangkan hak serta pembangunan rakyat Sabah, dan akan terus menjadi wadah utama dalam memastikan negeri ini kembali ke landasan pembangunan yang kukuh dan mapan.

“BN tidak pernah meninggalkan rakyat Sabah. Apa yang kita mulakan dahulu akan kita teruskan iaitu demi masa depan generasi akan datang,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *