“Pan Borneo lambat siap … Jangan salahkan BN, tanyalah menteri mereka”

PAPAR: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak sepatutnya diletakkan di bahu BN, sebaliknya pihak yang pernah menjadi menteri ketika projek itu diteruskan perlu tampil menjelaskan punca kelewatan tersebut.

Menurut Zambry, cubaan pihak lawan untuk memainkan isu Pan Borneo setiap kali musim pilihan raya menunjukkan mereka terdesak meraih sokongan dengan memutarbelit fakta.

“Mereka akan mainkan semua ini, tetapi hakikatnya rakyat tahu bahawa Pan Borneo adalah projek daripada Barisan Nasional. Pemimpin BN ketika itu, Datuk Seri Najib Razak ‘Bossku’, yang memulakan ‘design’ besar untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan, dakwaan kononnya BN bertanggungjawab menyebabkan projek tersebut lambat siap adalah tidak berasas kerana kerajaan ketika itu telah meletakkan asas kukuh untuk pembinaannya.

“Kalau mereka kata projek ini lambat, mereka sepatutnya tanya kepada pemimpin-pemimpin di sebelah sana, yang dahulu menjadi menteri. Tanya mereka sendiri, apa tindakan mereka sehingga menyebabkan kelewatan kepada projek ini? Kenapa mahu tuduh BN sedangkan mereka tahu itu projek BN dari awal?” ujarnya.

Zambry berkata, pihak yang sebenarnya melengahkan projek tersebut adalah mereka yang mengambil alih pentadbiran selepas itu tetapi gagal memastikan kesinambungan dan kelancaran pembangunan Pan Borneo sebagaimana dirancang.

“Siapa yang melambatkan sebenarnya? Rakyat berhak tahu bahawa bukan BN yang menyebabkan kelewatan… kerana merekalah yang sebenarnya melambatkan,” tegasnya.

Beliau menyeru pengundi untuk menilai fakta sebenar dan tidak terpengaruh dengan permainan politik pihak lawan yang cuba menutup kelemahan sendiri dengan menyalahkan BN.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditemui selepas bersama Calon N.28 Kawang, Datuk Jamal Norubit@Nerubi semasa hadir pada perlawanan persahabatan pickleball Puteri UMNO Papar yang diadakan di gelanggang terbuka di sini, hari ini. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *