Pan Borneo Sabah: Pelaburan infrastruktur untuk generasi akan datang

KOTA KINABALU: ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin, bersama Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan, semalam meninjau tapak Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B yang melibatkan dua pakej utama, iaitu:

  • WP 25: Menaik taraf jalan dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
  • WP 26: Menaik taraf jalan dari Sukau ke Kampung Lot M.

Menurut Jafry projek itu bukan sekadar menaik taraf infrastruktur jalan raya, sebaliknya merupakan satu inter-generational investment yang manfaatnya akan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Lebuh raya moden adalah prasyarat kepada ekonomi berdaya saing. Ia mengurangkan kos logistik, membuka akses kepada pendidikan dan kesihatan, memperkukuh jaringan sosial serta menjamin kesejahteraan rakyat pedalaman.

“Inilah erti sebenar keadilan pembangunan yang harus terus ditegakkan di Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Sabah turut menekankan bahawa setiap kilometer jalan yang dibina mencerminkan kesungguhan kerajaan Persekutuan untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam arus pembangunan nasional.

Menurutnya, Projek Pan Borneo adalah bukti nyata bahawa infrastruktur bukan sekadar batu dan tar, tetapi asas utama membina masa depan lebih inklusif, progresif dan seimbang untuk rakyat Sabah.

 

Kredit foto: FB Jafry Ariffin

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *