Pan Borneo, SOGIP, POIC bukti BN bawa transformasi ekonomi Sabah

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) terbukti menjadi parti yang membina asas kukuh ekonomi Sabah dan masa depan rakyatnya, kata Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Taha Omar.

Beliau berkata ketika era BN memimpin, Sabah diberi tumpuan besar dalam pembangunan infrastruktur, industri hiliran, kemudahan luar bandar serta perancangan ekonomi jangka panjang.

“BN bukan sekadar parti politik, tetapi pencetus kepada legasi pembangunan.

“Lihat saja projek Pan Borneo Sabah yang dilancarkan pada 2016 – ia bukan sahaja menghubungkan bandar dengan pedalaman, malah membuka peluang ekonomi baharu dan menurunkan kos logistik,” katanya di Facebook.

Menurut Dr Taha, projek berimpak tinggi lain seperti Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) dan Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu telah menjadikan negeri ini sebagai pemain penting dalam industri hiliran gas serta sawit.

“Tidak boleh dinafikan juga inisiatif membekalkan elektrik, air bersih, jalan luar bandar dan pusat internet komuniti – semuanya menjadi asas yang masih dinikmati rakyat hari ini,” katanya.

Katanya, hasil daripada pendekatan terancang itu, Sabah pernah mencatat pertumbuhan KDNK sehingga 8.2% pada 2017, antara yang tertinggi di Malaysia.

Namun, menurut beliau, cabaran kemiskinan yang merekodkan kadar 19.7 peratus pada 2022, jurang luar bandar dan pertumbuhan pasca pandemik sekitar 1.1 peratus tahun lalu menuntut kesinambungan dasar serta kestabilan politik.

“Projek mega mengambil masa panjang. Jika kerajaan sering bertukar arah, rakyatlah yang rugi. Sabah perlukan konsistensi, dan BN sudah membuktikan ia mampu menyusun strategi jangka panjang,” katanya.

Beliau menegaskan BN mempunyai rekod jelas membina asas pembangunan, sekali gus mampu menutup jurang kemiskinan luar bandar jika diberi mandat semula.

“Sabah memerlukan konsistensi. Asas sudah dibina pada era BN dan kini masa untuk memastikan ia disempurnakan demi rakyat.

“BN bukan sekadar parti politik, tetapi pembawa kesinambungan pembangunan yang telah membuktikan kemampuan membangunkan Sabah dari bawah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *