Parti KDM kekal bergerak solo, nafi sertai blok politik baharu

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menegaskan tidak akan menumpang mana-mana gabungan atau blok baharu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah akan datang, sebaliknya kekal mahu bertanding secara solo seperti yang telah diputuskan sebelum ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda, menepis laporan yang mendakwa beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, bagi membincangkan kemasukan KDM ke dalam blok politik baharu dikenali sebagai Gerakan Bersatu Sabah (GBS).

“Tidak benar langsung. Saya tidak pernah berbincang dengan Datuk Jeffrey atau mana-mana pihak pun tentang perkara itu,” tegas beliau.

Wetrom menjelaskan, keputusan untuk KDM bergerak sendiri dalam PRU DUN akan datang dibuat atas kehendak akar umbi parti yang mahu KDM kekal berdiri atas kaki sendiri.

“Kita kekal dengan keputusan untuk bertanding solo. Itu suara akar umbi, dan kita tidak akan belakangkan mereka,” katanya lagi.

Sebelum ini, sebuah portal tempatan melaporkan wujudnya perancangan membentuk blok politik baharu dikenali sebagai GBS yang diterajui Parti Progresif Sabah (SAPP) dan STAR — kedua-duanya bekas komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sabahgazette turut memetik laporan itu.

Laporan tersebut turut memetik Jeffrey sebagai berkata bahawa beliau sedang berbincang dengan beberapa parti tempatan termasuk KDM mengenai kemungkinan penyertaan mereka dalam GBS yang dijangka dilancarkan sebelum hari penamaan calon pada 15 November depan.

Namun, Jeffrey juga dipetik menegaskan rundingan itu masih belum dimuktamadkan dan sekiranya KDM benar-benar menyertai blok tersebut, soal pembahagian kerusi perlu disusun semula bagi mengelak pertindihan antara parti.

 

 

One thought on “Parti KDM kekal bergerak solo, nafi sertai blok politik baharu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *