Parti KDM mampu lakukan kejutan di DUN Sindumin

SIPITANG: Sokongan rakyat terhadap Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin semakin memberangsangkan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Ketua Bahagian KDM Sipitang, Sani Miasin berkata, berdasarkan perubahan aliran sokongan itu, potensi dan peluang parti KDM melakukan kejutan di DUN Sindumin kini semakin cerah.

“Ramai yang berpendapat dan meramalkan bahawa KDM, yang merupakan parti tempatan, mempunyai kelebihan dalam menarik sokongan di kawasan yang mempunyai majoriti pengundi komuniti KDM dan bumiputera yang lain.

“Jika sentimen ini kuat di Sindumin, ia boleh menjadi kelebihan besar,” katanya dalam catatan terbaharu di media sosial.

Menurutnya, parti KDM telah menunjukkan keupayaan untuk mencipta kejutan, seperti kemenangan luar jangka Datuk Wetrom Bahanda di Parlimen Kota Marudu dalam PRU yang lepas.

Beliau berkata kejayaan itu menunjukkan bahawa sokongan terhadap parti tempatan adalah nyata dan mampu mengatasi calon atau parti-parti besar lain.

“Prestasi ini boleh memberi keyakinan kepada pengundi KDM di Sindumin. Apatah lagi kini beliau (Wetrom) sudah diumumkan sebagai poster boy calon Ketua Menteri Sabah dari parti KDM,” katanya.

Sani berkata beliau turut menzahirkan kesediaan untuk menggalas tanggungjawab dan amanah sekiranya diberi peluang menjadi calon PKDM di DUN Sindumin dalam PRN17.

“Setakat ini, semua Jentera Pilihan Raya bagi DUN Sindumin sudah dilantik dan siapsiaga untuk memastikan calon dan KDM menang,” katanya.

Beliau berkata, antara isu-isu utama ataupun keluhan dan permasalahan yang sering dibangkitkan oleh penduduk kampung di Sindumin ialah soalan pembangunan infrastruktur jalan raya, air dan elektrik tidak seimbang, terutama isu jalan raya perhubungan dari Kg Mendulong sehingga ke kampung Long Pasia. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *