KOTA KINABALU: Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata beliau telah membawa isu berkaitan hak-hak Sabah ke Parlimen sambil menggesa kerajaan memberi perhatian, sebelum parti-parti tempatan berbuat demikian.
“Saya sendiri telah berkali-kali membangkitkan isu berkaitan Sabah di Parlimen, termasuk Batu Sumpah Keningau dan hak-hak Sabah,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malay Mail.
Menurut beliau, keadaan itu membuktikan bahawa parti-parti nasional turut mempunyai iltizam dan tekad untuk memperjuangkan isu serta hak Sabah.
Lim yang hadir bagi membantu berkempen bagi calon-calon DAP berkata demikian ketika berucap pada satu pertemuan bersama orang ramai bagi calon Kepayan, Datuk Jannie Lasimbang.
Laporan itu turut memetik Lim sebagai berkata PRN Sabah kali ini seolah-olah menyaksikan pertandingan antara parti-parti nasional dan parti-parti tempatan.
Beliau yang menolak naratif bahawa Sabah hanya untuk rakyat Sabah, berkata bahawa bukan sahaja parti berasaskan Sabah mempunyai kemampuan untuk mempertahankan hak Sabah di Dewan Undangan Negeri atau Dewan Rakyat, tetapi parti-parti nasional juga sama berkeupayaan.
Lasimbang berdepan persaingan 13 penjuru di Kepayan, sebuah kerusi campuran bandar yang mempunyai 39 peratus pengundi bumiputera bukan Islam, 37 peratus Cina dan 20 peratus bumiputera Islam.
