KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa parti-parti tempatan mesti memimpin dan mendominasi landskap politik negeri Sabah dan kerana itu kerajaan negeri sedia ada yang diterajui oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang dibentuk daripada parti-parti tempatan, perlu dikekalkan demi kestabilan dan masa depan negeri.
“Kita mahu kekalkan kerajaan ini, dan sebab itulah saya percaya pilihan raya kali ini amat penting. Kita tidak boleh memilih jalan yang salah. Parti-parti tempatan mesti mendominasi politik Sabah dan diberi keutamaan,” katanya semasa ucapan perasmian Kongres Agung USNO (United Sabah National Organisation) 2025 di Dewan Seri Dungkuan, Kampung Rampayan Laut pada Ahad.
Pengerusi GRS itu seterusnya berkata walaupun kerjasama politik adalah perkara berbeza, parti tempatan seperti GRS harus terus mempertahankan kedudukan mereka berdasarkan sentimen rakyat yang mahukan kepimpinan tempatan.
“Sebagai Pengerusi GRS, saya akan pastikan perkara ini. Saya tidak akan sewenang-wenangnya menyerahkan hak dan perjuangan GRS kepada mana-mana pihak yang cuba melemahkan gabungan ini,” tegasnya.
Sementara itu, dalam satu majlis berasingan di Tuaran, Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) serta Ketua Bahagian Sulaman, menjelaskan bahawa tiada tarikh telah ditetapkan bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, walaupun terdapat spekulasi bahawa ia mungkin berlaku sekitar akhir Julai atau awal Ogos.
Beliau bagaimanapun memberi bayangan bahawa sebarang pengumuman berkenaan pembubaran mungkin hanya akan dibuat selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat yang dijadualkan berlangsung pada penghujung bulan Julai.
Kenyataan ini dibuat selepas beliau merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sulaman pada Ahad.
