PAS Sabah sedia letak calon bukan Islam dalam PRN akan datang

KOTA KINABALU: PAS Sabah bersikap terbuka untuk meletakkan calon bukan Islam dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang yang dijangka diadakan hujung tahun ini, lapor Free Malaysia Today (FMT).

Setiausahanya, Sahar Abdul Majid berkata pencalonan sedemikian akan bergantung kepada keperluan serta kesesuaian kawasan pilihan raya yang akan ditandingi oleh PAS di bawah gabungan Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, keterbukaan ini adalah selari dengan prinsip lama parti itu iaitu “PAS for All” dan bukan sesuatu yang baharu. Malah, PAS pernah meletakkan calon bukan Islam dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Sayap penyokong bukan Islam PAS (DHPP) di Sabah cukup aktif, khususnya dalam kalangan masyarakat Dusun dan Cina, dan kini mempunyai lebih 1,000 ahli,” katanya kepada portal berita itu.

Tambah beliau, “Pada tahun 2018, PAS telah meletakkan calon bukan Islam. Ini membuktikan bahawa DHPP Sabah memainkan peranan penting dalam meraih sokongan daripada komuniti bukan Islam.”

Antara calon bukan Islam yang diketengahkan PAS dalam PRU14 termasuk Satail Mojungkat, seorang petani yang bertanding di kerusi DUN Kadamaian di Sabah, serta mendiang R Kumutha yang bertanding di kerusi DUN Johor Jaya di Johor.

Namun begitu, Satail tewas kepada calon Upko, Ewon Benedick, yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) ketika itu. Kumutha pula tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH), Liow Cai Tung.

Sahar menyatakan bahawa PAS yakin mereka mampu mencipta kejutan dalam PRN akan datang menerusi persiapan yang lebih tersusun dan strategik, termasuklah pemilihan calon-calon yang berwibawa serta berkelayakan.

“Rakyat Sabah kini menunjukkan keinginan yang semakin kuat terhadap perubahan dan kepimpinan yang lebih baik,” katanya lagi.

Berhubung kerusi mana yang akan ditandingi, Sahar menjelaskan bahawa keputusan muktamad akan dibuat secara kolektif bersama parti-parti komponen lain dalam PN.

Terdahulu, PAS mengesahkan akan bertanding sekurang-kurangnya enam daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

Untuk rekod, Pesuruhjaya PAS Sabah, Aliakbar Gulasan, kini merupakan salah seorang daripada enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik oleh kerajaan negeri selepas PRN 2020. PAS tidak bertanding dalam mana-mana kerusi pada pilihan raya tersebut.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *