KALABAKAN: Ketua Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu optimis parti itu mampu mencipta sejarah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan memenangi kerusi buat pertama kali di negeri ini.
Menurut Norsah, kemenangan pilihan raya bukan sekadar kejayaan politik, sebaliknya menjadi landasan penting untuk memperluaskan gerak kerja dakwah Islam di Sabah.
“Kita akan memecahkan telur dalam PRN kali ini, insya-Allah. Dengan jalan pilihan raya inilah kita akan membuka laluan lebih luas untuk dakwah dan politik Islam di bumi Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat secara dalam talian pada Himpunan Jentera Pilihan Raya Muslimat yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Kalabakan, kelmarin.
Katanya, program berkenaan menghimpunkan jentera Muslimat PAS kawasan yang akan digerakkan atas tiket Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi PRN Sabah.
Norsah turut memberi suntikan semangat kepada jentera parti supaya kekal fokus dan bekerja secara tersusun bagi memastikan PAS mencatat keputusan lebih baik pada pilihan raya kali ini.
Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kalabakan, Wardah Jufri menegaskan, PAS bukan sahaja bergerak atas dasar politik, tetapi juga sebagai ejen dakwah untuk menyampaikan suara rakyat.
“Kini kita berada di medan perjuangan yang memerlukan kesatuan dan kekuatan jentera. Kita membawa mesej dakwah dan suara rakyat sebagai ejen politik Islam untuk memimpin negeri ini,” katanya.
Wardah turut menekankan keperluan semua jentera memperkukuh semangat juang serta memainkan peranan secara aktif dalam memastikan agenda PAS sampai ke peringkat akar umbi. – Utusan Borneo
