KOTA KINABALU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyasarkan untuk mencipta sejarah dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang, sekali gus ‘memecah telur’ selepas tidak pernah menang di negeri ini sebelum ini.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, secara keseluruhan PAS berhasrat untuk bertanding di 12 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Namun, katanya, rundingan pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu masih berjalan bagi memuktamadkan senarai akhir kawasan yang akan ditandingi kedua-dua parti.
“Keputusan rasmi dijangka diumumkan dalam tempoh dua minggu sebelum hari penamaan calon,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Ceramah Umum Sempena Sambutan 70 Tahun PAS Kelantan dan 35 Tahun Membangun Bersama Islamdi Pengkalan Chepa, Kelantan, malam Sabtu.
Menurut Mohd Amar, antara kerusi yang menjadi sasaran PAS ialah Karambunai, Sungai Sibuga dan Tanjung Keramat.
Katanya, senarai calon belum dimuktamadkan kerana parti itu perlu menentukan pembahagian kerusi terlebih dahulu.
Beliau turut menambah bahawa walaupun PAS hanya menyasarkan untuk menang satu kerusi, perkembangan semasa menunjukkan potensi kemenangan parti itu semakin cerah berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada akar umbi.
“Keadaan semasa agak positif kepada PAS, malah kami yakin pengundi muda akan membuat perubahan pada PRN akan datang, memandangkan banyak isu-isu yang sedang berlaku di Sabah,” katanya.
