KOTA KINABALU: Parti Islam Se-Malaysia (PAS) terus komited dalam meraikan kepelbagaian dan memupuk persefahaman di antara agama, selaras dengan realiti masyarakat majmuk di Sabah.
Komitmen itu dizahirkan dalam satu pertemuan di antara Datuk Dr. Aliakbar Gulasan, Pesuruhjaya PAS Sabah dengan Bishop Rev. Wong Fui Kong dari Gereja Basel Malaysia di Wisma BCCM, di sini semalam.
Pertemuan itu membincangkan pelbagai perkara berkaitan hal ehwal kehidupan beragama di Sabah, khususnya menyentuh aspek toleransi dan keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang agama.
Datuk Dr. Aliakbar dalam kenyataannya menekankan bahawa semua penganut perlu memahami ajaran agama masing-masing bagi mengelakkan salah faham dan ketegangan, termasuk dalam konteks politik.
“PAS sentiasa meraikan kepelbagaian dan menghormati kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kami mengajak semua pihak untuk terus memperkukuh persefahaman demi kestabilan negeri dan negara,” katanya.
Pertemuan itu turut membuka ruang ke arah kerjasama dan dialog berterusan di antara PAS dan institusi keagamaan bukan Islam di Sabah, sebagai usaha memperkukuh keharmonian dan perpaduan rakyat.
