PBK Sabah tarik perhatian calon potensi

KOTA KINABALU: Parti Bumi Kenyalang (PBK) Sabah menyambut baik minat yang ditunjukkan oleh beberapa individu yang berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) dibawah tiket parti itu.

Pengerusi PBK Sabah, Datin Soh Kee Suat berkata, pihaknya menerima pandangan daripada calon-calon yang tertarik dengan pendekatan dan hala tuju PBK yang dilihat berbeza daripada parti-parti politik lain di negeri ini.

“Kami mengalu-alukan mereka yang benar-benar ikhlas dan komited untuk memperjuangkan masa depan Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Beliau berkata, PBK Sabah menekankan bahawa PRN kali ini memberi peluang kepada rakyat Sabah untuk menentukan hala tuju negeri, sama ada meneruskan kerjasama sedia ada dalam kerajaan Persekutuan atau mempertimbangkan pendekatan yang lebih berasaskan autonomi dan keupayaan tempatan.

Katanya, berkenaan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terdapat pandangan berbeza dalam kalangan pakar undang-undang mengenai kesahihan dan keberkesanan perjanjian itu dalam menjamin hak-hak Sabah.

Beliau menegaskan bahawa PBK Sabah berpendirian untuk memperjuangkan hak-hak Sabah secara menyeluruh dan berasaskan prinsip keadilan serta pembangunan mampan.

“PBK juga menyuarakan kebimbangan terhadap isu-isu infrastruktur dan pembangunan yang masih membelenggu Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya.

“Pengurusan sumber dan hasil negeri yang lebih berkesan boleh membantu mempercepatkan pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Sabah mempunyai potensi besar dan sumber yang mencukupi untuk membangunkan negeri ini secara berdikari dan berdaya saing,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *