PBM bertanding di Bandau, tak jadi tanding di Kadamaian, Tanjong Papat

KUCHING: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menamakan Pengerusi PBM Sabah, Jupperi Lenson sebagao calonnya untuk bertanding di DUN Bandau pada PRN akan datang.

Presiden parti itu Datuk Larry Sng (gambar) juga berkata setakat ini hanya Bandau satu-satunya kerusi yang diperakuinya untuk ditandingi.

“Jupperi adalah penduduk tempatan dan telah bekerja di lapangan selama beberapa bulan,” kata Sng dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sng berkata beliau difahamkan bahawa Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda, tidak akan mempertahankan kerusi Bandau dalam pilihan raya ini.

“Sekiranya PBM menang di Bandau dalam pilihan raya yang akan datang ini, parti akan menyelaraskan diri dengan kerajaan negeri yang baharu bagi memastikan kestabilan politik,” ujar Sng.

Beliau menambah, PBM telah memutuskan untuk tidak bertanding di kerusi Kadamaian dan Tanjong Papat, yang mana sebelum ini telah diumumkan pada mesyuarat agung tahunan parti di Kota Kinabalu.

Kerusi Kadamaian kini disandang oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedict, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, manakala Tanjong Papat disandang oleh Frankie Poon Ming Fung dari DAP Sabah.

Sng berkata keputusan untuk tidak bertanding di dua kerusi ini telah menyebabkan peletakan jawatan “beberapa pemimpin parti Sabah”, yang mana telah diterima oleh PBM.

“Saya percaya akan hak PBM untuk bertanding di mana-mana kerusi di Sabah, memandangkan kedudukan kami yang bebas. Namun, saya telah menyatakan kebimbangan saya mengenai kekurangan persediaan calon-calon berpotensi kami,” katanya.

Sambil menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai rakan dan sekutu di peringkat persekutuan, Sng berkata beliau tidak mahu PBM dilabel sebagai anti-PH, yang merupakan gabungan yang diketuai perdana menteri itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *