PBS tawar diri bantu lima ADUN STAR yang kekal sokong GRS

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyatakan sokongan penuh kepada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah menawarkan diri untuk menggerakkan jentera pilihan raya bagi pihak mereka.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, pada Khamis.

Katanya, mesyuarat berkenaan turut memutuskan agar lima bahagian PBS di kawasan DUN Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid segera mengadakan perbincangan dengan penyandang ADUN masing-masing.

Lima ADUN tersebut ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid) yang mengekalkan pendirian menyokong GRS.

Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS menegaskan, kawasan tersebut merupakan antara kubu kuat PBS dengan jentera akar umbi yang aktif.

“Kita percaya gabungan tenaga dan kerjasama di lapangan akan memastikan GRS terus mendapat kepercayaan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. PBS juga telah lama menjalin kerjasama erat dengan mereka di peringkat akar umbi dan usaha ini akan diteruskan dalam semangat perpaduan GRS,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan, sokongan PBS didorong oleh semangat kerjasama dan saling percaya antara parti komponen GRS yang dianggap penting untuk mengekalkan kestabilan politik serta menjamin kesinambungan pembangunan negeri.

“Keputusan ini adalah satu tanggungjawab bersama untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap GRS. Pada masa sama, PBS mahu memastikan usaha yang sudah dimulakan sejak sekian lama di bawah GRS diteruskan demi kesejahteraan rakyat Sabah,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *