PCS yakin beri sumbangan kerusi kepada GRS pada PRN Sabah

SANDAKAN: Parti Cinta Sabah (PCS) yakin mampu menyumbang kerusi kemenangan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Naib Presiden PCS, Abdul Rajak Janit, berkata pihaknya kini hanya menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan parti untuk menggerakkan jentera menghadapi pilihan raya.

Katanya, PCS sudah bersedia sepenuhnya sekiranya diberi peluang untuk bertanding dalam PRN kali ini terutamanya di Sandakan.

“Kita yakin dengan sokongan daripada Presiden parti serta Pengerusi GRS bahawa PCS mampu meraih kemenangan dan menyumbang kerusi kepada gabungan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Kenduri Raya Korban di kediamannya di Taman Rimba, Batu 7, di sini, kelmarin.

Abdul Rajak berkata, PCS tidak bergerak secara bersendirian dalam mendekati rakyat, sebaliknya sentiasa berganding bahu bersama rakan komponen GRS bagi memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap gabungan berkenaan, khususnya di kawasan Sungai Sibuga.

Terdahulu, majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi PBSTAR Sungai Sibuga, Mohd Ridzuwan Abidin, serta Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sungai Sibuga, Henry Hamdan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *