PEKIDA perlu jadi benteng moral dan pemangkin perpaduan di Sabah

PENAMPANG: PEKIDA diminta menjadi wadah penting dalam memelihara nilai Islam, memperkukuh institusi keluarga dan menangani cabaran sosial yang semakin kompleks.

Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Said Keruak berkata, kepentingan PEKIDA sebagai badan bukan kerajaan (NGO) bukan sahaja berperanan dalam kebajikan.

“Dalam dunia hari ini, suara PEKIDA sangat diperlukan, bukan sekadar untuk berdakwah, tetapi untuk menjadi panduan moral dan agen perpaduan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali Pertama PEKIDA Daerah Penampang di sini, baru-baru ini.

Salleh turut mencadangkan agar PEKIDA memperluas peranannya dalam pembangunan belia melalui program jati diri dan kepimpinan, menubuhkan dana kebajikan khas untuk membantu golongan memerlukan serta membina jaringan kerjasama rentas kaum bagi mengukuhkan keharmonian di Sabah.

Beliau menyarankan agar pertubuhan itu lebih proaktif dalam memanfaatkan media sosial sebagai medium dakwah dan menyantuni generasi muda secara kreatif dan berhemah.

“Dakwah mesti bersifat hikmah, lembut tetapi tegas, jelas tetapi tidak memaksa. Dalam konteks Sabah yang majmuk, pendekatan penuh kasih sayang adalah kunci kejayaan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *