Pelaksanaan, pengurusan Skim Insurans Berkelompok perlu lebih telus

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog Datuk Darell Leiking menggesa Kerajaan Negeri Sabah agar lebih telus dalam pelaksanaan dan pengurusan Skim Insurans Berkelompok Negeri Sabah yang dilancarkan pada 1 Mei lepas.

Dalam sesi soalan bertulis kepada Kementerian Kewangan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, beliau meminta penjelasan mengenai jumlah tuntutan yang telah dikemukakan serta jumlah bayaran yang telah dibuat di bawah skim berkenaan bagi bulan Mei 2025.

Beliau berkata, menurut jawapan bertulis daripada Kementerian Kewangan, hanya tiga tuntutan direkodkan sepanjang bulan itu dengan jumlah bayaran sebanyak RM21,000.

“Perkara ini menimbulkan persoalan penting iaitu mengapa hanya RM21,000 dibayar kepada tiga individu pada bulan Mei sedangkan skim ini bertujuan melindungi seluruh penduduk Sabah seramai 2.7 juta orang?

“Jumlah kos insurans adalah RM50 juta untuk tempoh tiga tahun, bermakna kerajaan perlu membayar RM1.38 juta sebulan,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Darell membangkitkan dua kebimbangan utama iaitu kesedaran dan aksesibiliti dengan menegaskan skim perlindungan insurans itu adalah satu usaha yang baik oleh kerajaan.

Namun jelasnya, adakah kerajaan menghubungi ketua kampung, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), dan kapitan di setiap daerah bagi memaklumkan kepada rakyat mengenai program itu.

Darell turut mempersoalkan adakah rakyat benar-benar mengetahui kewujudan skim berkenaan serta proses untuk membuat tuntutan, memandangkan perlindungan insurans dikatakan bermula secara automatik pada 1 Mei 2025.

Selain itu katanya, adakah rakyat telah dimaklumkan dengan secukupnya dan faham mengenai cara untuk membuat tuntutan.

Beliau berkata, jumlah tuntutan yang rendah memberi gambaran kemungkinan wujudnya kekurangan dari segi kesedaran atau usaha penyampaian maklumat.

Menurutnya, kajian semula struktur premium perlu diutamakan memandangkan terdapat jurang yang besar antara bayaran premium bulanan (RM1.38 juta) dan jumlah bayaran tuntutan (RM21,000).

Justeru, Darell menggesa kerajaan dan penyedia insurans yang dilantik supaya mengkaji semula keberkesanan kos skim itu dengan menekankan pentingnya memastikan dana awam dibelanjakan secara berhemah dan skim ini memberikan manfaat sebenar yang boleh diukur kepada lebih ramai rakyat.

“Program yang melibatkan kewangan sebesar ini mesti dilaksanakan secara telus, bertanggungjawab dan berfokuskan rakyat.

“Kerajaan sepatutnya mempertingkatkan capaian dan keberkesanan skim ini atau mempertimbangkan semula peruntukan dana agar memberikan nilai yang lebih baik untuk wang pembayar cukai,” jelasnya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *