KOTA KINABALU: Pelancaran manifesto Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk pilihan raya negeri ke-17 yang dijadualkan esok telah ditangguhkan ke Ahad akibat isu terjemahan, kata Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin.
Chan, yang juga calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.
“Saya baru sahaja menghubungi Datuk Mustapha Sakmud, beliau beritahu pelancaran itu ditangguhkan ke Ahad ini. Khamis tidak tersedia. Itu yang dimaklumkan kepada saya sebentar tadi, kerana terdapat isu terjemahan (risalah manifesto),” katanya sebagaimana dilaporkan Bernama.
Chan, yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, berkata demikian kepada pemberita selepas program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya di sini, hari ini.
Semalam, Mustapha memaklumkan kepada media bahawa PH akan melancarkan manifestonya pada Khamis dengan fokus utama kepada penubuhan dana khas untuk rakyat Sabah, selain menekankan penyelesaian isu asas di negeri itu.
Chan berkata, sebagai salah seorang individu yang terlibat dalam penyediaan dokumen tersebut, manifesto PH adalah realistik dan tidak menjanjikan bulan dan bintang kerana ia hanya berpaksikan memenuhi keperluan asas rakyat.
