KOTA KINABALU: Dakwaan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yang menyatakan bahawa rundingan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah diputuskan, menimbulkan persoalan apabila dinafikan oleh Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin.
Razeef yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR Pusat berkata bahawa di peringkat negeri, pertemuan tidak rasmi memang ada diadakan, namun setakat ini belum ada perbincangan rasmi antara PH dan BN berkaitan pembahagian kerusi.
“Pakatan Harapan masih belum mengadakan pertemuan rasmi sama ada dengan BN atau GRS untuk membincangkan kerjasama pilihan raya, apatah lagi pengagihan kerusi. Kami tidak tahu dari mana Suhaimi mendapat angka 40 kerusi itu, dan kami juga tidak tahu dengan siapa beliau berbincang,” katanya, merujuk pada kenyataan Suhaimi yang menyatakan UMNO-BN bersetuju bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN, manakala baki 33 kerusi akan diberikan kepada PH.
Razeef berkata PKR dan PH Sabah tetap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi aspirasi yang sama untuk negeri Sabah — namun perkara sebegitu sepatutnya dibincangkan melalui pertemuan rasmi.
“Kami menggesa UMNO agar menasihati pemimpin mereka di Sabah supaya tidak membuat kenyataan sewenang-wenangnya, terutamanya yang berkaitan dengan kerjasama menghadapi PRN-17 dan pengagihan kerusi. Adalah lebih baik jika rundingan diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang kenyataan dibuat,” katanya.
Razeef berkata beliau telah menghubungi semua pemimpin PH dan mengesahkan bahawa tiada perbincangan yang pernah diadakan.
“Pemimpin BN Sabah berulang kali mengeluarkan kenyataan seperti ini walaupun mereka tidak pernah bertemu dengan PH, apatah lagi membincangkan perkara-perkara tersebut. Kami juga tidak faham apa tujuan mereka terus-menerus berbohong,” katanya.
Terdahulu hari ini, media memetik kenyataan Suhaimi yang mengatakan bahawa BN Sabah dan PH Sabah telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dan juga mengenai pengagihan kerusi.
Suhaimi dilaporkan memberitahu media bahawa mereka menggunakan formula di mana kerusi penyandang kekal ditandingi oleh parti yang sedang menyandangnya, sambil mempertimbangkan parti atau gabungan mana yang mempunyai sokongan akar umbi lebih kukuh di kawasan lain.
Beliau berkata hala tuju kerjasama BN-PH itu dipersetujui semasa pemukiman Umno Sabah di Pulau Pinang tahun lalu, selaras dengan struktur kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
PH Sabah kini merupakan sebahagian daripada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), manakala UMNO Sabah berada di pihak pembangkang.
