SANDAKAN: Sabah sewajarnya menerima jumlah yang lebih besar daripada nilai RM600 juta berdasarkan kenyataan Perdana Menteri (PMX), Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkenaan pemberian khas 40 peratus terhadap negeri ini.
Menurut Naib Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri, Dr. Aliakbar Gulasan, PMX sendiri dapat menyedari bahawa hasil kutipan kerajaan persekutuan daripada negeri ini berjumlah kira-kira RM10 bilion dalam tempoh setahun.
“Jika nilai RM10 bilion ini dijadikan sebagai sandaran, maka wajar untuk Negeri Sabah menerima sekurang-kurangnya RM4 bilion pemberian khas bagi tahun 2025 daripada Kerajaan Persekutuan bukan hanya RM600 juta,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Justeru, tegas beliau Kerajaan Madani jangan berdolak dalik dalam perkara itu.
“Kita sekarang berbahas dalam konteks hak rakyat Sabah iaitu peruntukan 40 peratus yang wajib diberikan pihak Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam perkara 112C di bahagian IV dan V Jadual Kesepuluh Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Tambahan pula, ujarnya PMX dilihat meleset dalam kenyataan tersebut apabila seolah-olah berniat untuk menyamakan pemberian khas 40 peratus dengan perbelanjaan wajib Kerajaan Persekutuan untuk negeri Sabah termasuk pemberian kepada negeri, mengurus agensi persekutuan di Sabah, subsidi bahan api, belanja pembangunan dan lain-lain yang mencecah RM17 billion bagi tahun 2025 dan 2026.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri berkata, nilai RM17 bilion seharusnya diberikan kepada Sabah.
Katanya, namun pemberian wajib 40 peratus di bawah Perkara 112C masih tetap dan perlu diberikan kepada Sabah selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.
“Saya juga menyarankan Kerajaan Madani agar tidak merayu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini apabila memerintahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan semakan baharu bersama Kerajaan Negeri Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Tindakan tidak membuat rayuan ini amat penting sebagai bukti bahawa Kerajaan Madani tidak hanya beretorik menyokong hasrat rakyat negeri Sabah yang mahu hak serta kepentingan mereka dijamin oleh Kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan tuntutan-tuntutan dalam MA63,” ujarnya lagi.
Dr. Aliakbar menegaskan komitmen PN untuk mengembalikan hak 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh daripada Sabah kepada kerajaan negeri sebagai salah satu komitmen utama PN dalam PRN kali ini.
“Komitmen ini sebagai manifestasi kebersamaan PN dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan hak kami sebagai anak negeri ditunaikan Persekutuan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY
