KALABAKAN: Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop, menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah petang tadi sebagai langkah penting yang mengembalikan hak dan kuasa rakyat untuk menentukan hala tuju kepimpinan negeri selepas lima tahun pemerintahan.
Katanya, proses demokrasi kali ini memberi peluang kepada rakyat menilai semula kepimpinan yang mampu mengurus negeri secara telus, berintegriti serta berorientasikan penyelesaian terhadap isu-isu asas rakyat.
“Rakyat kini lebih matang dan berkeupayaan menilai kepimpinan yang bukan sahaja pandai berjanji, tetapi mampu melaksanakan dasar yang membawa manfaat langsung kepada masyarakat.
“UMNO sentiasa berpegang kepada prinsip perjuangan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) merupakan entiti politik yang berpengalaman luas dalam mentadbir negeri dan negara, dan parti itu tidak pernah berhenti memainkan peranan membantu rakyat biarpun berada di luar kerajaan.
“UMNO ialah parti yang telah lama berakar di Sabah dengan rekod pencapaian yang jelas. Walaupun menjadi pembangkang, khidmat kepada rakyat tetap diteruskan tanpa henti,” katanya.
Samasuddin berkata, parti kini memasuki fasa baharu yang lebih segar dan berdaya saing selepas mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya lalu.
UMNO-BN, katanya, telah melakukan penyesuaian politik dan pembaharuan organisasi bagi memastikan perjuangan parti lebih selari dengan keperluan rakyat semasa.
“UMNO-BN kini lebih bersedia dan realistik dalam pendekatan politiknya. Kami tekad untuk mengembalikan keyakinan rakyat serta memastikan pembangunan negeri berlangsung secara inklusif dan mampan,” katanya
Dalam konteks Kalabakan, beliau menegaskan bahawa UMNO Bahagian Kalabakan telah melaksanakan persiapan rapi bagi memastikan setiap kawasan DUN di bawah parlimen berkenaan dapat digerakkan dengan strategi yang tersusun dan berpaksikan kebajikan rakyat.
Beliau turut menyorot tumpuan khusus terhadap pembangunan modal insan golongan belia, dengan memberi penekanan kepada pendidikan, peluang pekerjaan dan pengukuhan ekonomi tempatan sebagai asas kepada kemajuan daerah.
“Belia merupakan tenaga penggerak masa depan negeri. UMNO komited memastikan mereka mendapat ruang yang adil untuk membina kehidupan yang stabil dan produktif,” katanya
Justeru, Samasuddin menyeru pengundi Kalabakan agar menggunakan peluang Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dengan penuh tanggungjawab untuk memilih kepimpinan yang bersih, bebas rasuah serta berorientasikan khidmat kepada rakyat.
“Rakyat berhak mendapat kerajaan yang berintegriti, berkeupayaan mentadbir dan berjiwa rakyat. Itulah asas perjuangan yang akan terus dipertahankan UMNO Kalabakan,” katanya. – Utusan Borneo
