KOTA KINABALU: 21 daripada 26 ketua cabang PKR di negeri ini dilaporkan telah menyatakan sokongan mereka terhadap Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan kepimpinan parti bagi penggal 2025-2028.
Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu mereka menyatakan kesediaan untuk memberikan sokongan sekiranya beliau memutuskan untuk bertanding jawatan timbalan presiden, jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Rafizi Ramli.
“Selaku Ketua-Ketua Cabang PKR Sabah, kami ingin menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pencalonan Nurul Izzah sebagai Naib Presiden seperti yang diumumkan oleh beliau sebelum ini.
“Bagi jawatan Timbalan Presiden, pihak kami sedang menunggu pengumuman rasmi daripada beliau dan bersedia menyokong jika memberi kebaikan kepada perjuangan parti,” kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud dalam kenyataan bersama tersebut.
Menerusi kenyataan yang sama mereka memuji Nurul Izzah sebagai seorang pemimpin yang berprinsip dan mempunyai asas reformasi yang kukuh, sambil percaya bahawa kepimpinan beliau di peringkat tertinggi parti akan membawa semangat baharu kepada agenda reformasi, khususnya di Sabah, di mana isu seperti pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih menjadi keutamaan.
Pemilihan kepimpinan PKR dijadualkan berlangsung pada 24 Mei 2025, dan Nurul Izzah dijangka akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden.
Rafizi juga telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan itu, manakala Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang ditewaskan oleh Rafizi pada pemilihan lepas disebut-sebut berkemungkinan turut menyertai pertandingan.
Kenyataan bersama itu turut menekankan kepentingan membuat keputusan yang berhati-hati dan strategik menjelang pilihan raya negeri Sabah yang akan datang, bagi mengelakkan perpecahan dalaman dan mengekalkan keyakinan rakyat.
“Kita mesti kembali kepada asas perjuangan parti dan memastikan ia kekal sebagai harapan kepada rakyat,” kata mereka.
Selain Mustapha selaku Ketua PKR Sabah merangkap Ketua Cabang Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud kenyataan itu ditandingi ketua-ketua cabang dari Sepanggar (Datuk Peto Galim), Kudat, Kinabatangan, Penampang, Kota Marudu, Kota Kinabalu, Kimanis, Sandakan, Tawau, Beaufort, Ranau, Papar, Beluran, Libaran, Pensiangan, Silam, Sipitang, Batu Sapi, Tenom dan Kalabakan.
