KOTA KINABALU: Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah (DPPNS) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden atas pendirian tegas Presiden PAS yang lantang mengecam kezaliman rejim Zionis dalam serangan terbaharunya ke atas Iran.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan kelmarin, Ketua DPPNS, Hendri Hamsah (gambar), menegaskan bahawa Pemuda PAS Sabah tidak akan berdiam diri terhadap tindakan biadab dan tidak berperikemanusiaan rejim tersebut, yang bukan sahaja mengancam wilayah Palestin bahkan turut menggugat kestabilan rantau Asia Barat.
“Sebagai anak muda Sabah yang sedar akan tanggungjawab ummah dan nilai kemanusiaan sejagat, kami tidak rela dunia terus membisu terhadap kerakusan rejim Zionis. Ini bukan isu asing, ini adalah isu umat,” tegas Hendri.
Beliau turut menyeru agar anak muda Islam di seluruh Sabah berani menyatakan bantahan secara konsisten, khususnya melalui medan digital, forum ilmiah dan program kesedaran masyarakat.
Katanya, anak muda harus mengukuhkan solidariti bersama umat Islam dan semua pihak yang memperjuangkan keadilan sejagat dan mendesak kerajaan Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk menjadi suara utama dalam mengecam kekejaman rejim Zionis serta menggerakkan tindakan kolektif negara-negara Islam dan rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, kezaliman dan penjajahan moden yang dilakukan oleh rejim Zionis memerlukan keberanian anak muda untuk tampil menyatakan sikap tanpa gentar, serta menolak hipokrasi kuasa besar yang terus melindungi penjenayah perang dunia.
“Kami percaya kesedaran anak muda hari ini bukan sekadar retorik, tetapi gelombang jiwa yang cintakan kebenaran, keamanan dan maruah insan,” katanya lagi.
Tambah beliau, Pemuda PAS Sabah akan terus menyatakan solidariti terhadap mana-mana negara yang dizalimi, dan akan terus berdiri teguh bersama Pemuda PAS Malaysia dalam memperjuangkan nilai keadilan global.
“Hari ini kita bersuara untuk Iran. Semalam untuk Palestin. Esok, kita akan terus bersuara untuk mana-mana negara yang dizalimi.
“Diam kita hari ini adalah khianat kepada maruah umat dan nilai kemanusiaan sejagat,” jelasnya.
