Pemuda UMNO kesal syarikat besar di Sabah tidak tampil bantu mangsa bencana

KOTA KINABALU: Pemuda UMNO melahirkan rasa kecewa terhadap sikap berdiam diri syarikat-syarikat besar yang beroperasi di Sabah ketika negeri ini berdepan bencana banjir besar.

Bendahari Pemuda UMNO Malaysia, Naim Moktar, berkata tragedi tersebut telah meragut 14 nyawa, menenggelamkan ribuan rumah serta memaksa puluhan ribu penduduk menanggung derita.

Menurutnya, bencana ini bukan sekadar angka pada kertas, tetapi kisah kehilangan, linangan air mata dan penderitaan rakyat yang tidak wajar dipandang remeh.

“Amat menyedihkan apabila syarikat-syarikat korporat yang selama ini mengaut keuntungan daripada bumi Sabah memilih untuk membisu tanpa menunjukkan sebarang bentuk bantuan.

“Di mana letaknya tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka? Mengapa ketika rakyat Sabah merintih, mereka seakan tidak peduli?” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Naim yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan menegaskan, di Semenanjung syarikat-syarikat gergasi lazimnya segera menghulurkan bantuan apabila bencana berlaku.

“Tetapi bila malapetaka menimpa Sabah, suara mereka hilang entah ke mana. Apakah nyawa rakyat Sabah tidak sama nilai dan martabatnya dengan rakyat di tempat lain?” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat yang beroperasi di Sabah segera tampil menyalurkan sumbangan sebagai tanda solidariti bersama rakyat yang sedang ditimpa kesusahan.

“Jika anda mampu mengaut hasil daripada negeri ini, jangan pula berpaling muka apabila rakyatnya ditimpa musibah.

“Sabah bukan anak tiri Malaysia. Rakyat negeri ini berhak menerima perhatian, sokongan dan bantuan segera daripada semua pihak,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru masyarakat untuk berganding bahu membantu mangsa banjir agar penderitaan mereka tidak berpanjangan sementara pihak lain hanya memerhati dari jauh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *