Pemuda UPKO gesa SPRM serius banteras rasuah PRU Sabah

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar serius dan tegas dalam membanteras sebarang bentuk rasuah menjelang Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah kali ini.

Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, kenyataan SPRM memantau perjalanan pilihan raya di Sabah adalah langkah baik, namun ia tidak seharusnya sekadar menjadi kenyataan di atas kertas.

“Rakyat mahu lihat tindakan, bukan sekadar janji. SPRM mesti turun padang dan pantau setiap aktiviti sepanjang tempoh kempen hingga ke hari pengundian.

“Ini termasuk membanteras cubaan membeli undi, pemberian habuan politik, penyalahgunaan jentera kerajaan serta apa-apa bentuk sogokan yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil tanpa mengira pangkat atau parti politik yang terlibat supaya keyakinan rakyat terhadap SPRM sebagai badan bebas dan berintegriti dapat dikembalikan.

“Hanya dengan tindakan berani dan konsisten, SPRM boleh membuktikan komitmen sebenar dalam memastikan proses demokrasi berjalan dengan bersih dan adil.

“Rakyat mahu lihat SPRM benar-benar menjatuhkan hukuman kepada calon atau parti yang terbabit dalam amalan rasuah pilihan raya,” katanya.

Felix yang juga Ketua Bahagian UPKO Beluran turut mencadangkan agar SPRM menambah jumlah pegawai pemantau di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memastikan pemantauan lebih menyeluruh.

“Kita cadangkan SPRM melantik sekurang-kurangnya 73 pegawai pemantau bagi setiap DUN di Sabah, bukannya 40 seperti yang diumumkan.

“Sabah ini luas dan mencabar, jadi perlu pengawasan yang lebih rapi,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UPKO akan terus menyokong usaha SPRM dan mana-mana agensi penguatkuasaan lain dalam memastikan PRU Sabah berlangsung secara bersih, telus dan berintegriti tinggi demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *