SEMPORNA: Mahkamah Anak Negeri (MAN) Semporna mencadangkan supaya satu sistem pendataan khusus diwujudkan bagi mengenal pasti jumlah sebenar Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan komuniti Bajau Laut yang menetap di daerah ini secara berterusan.
Setiausaha MAN Semporna, NC Asmarah Asmad berkata, inisiatif itu penting bagi membantu agensi penguatkuasa menjalankan pemantauan dan tindakan secara lebih berkesan terhadap isu berkaitan jenayah dan keselamatan di kawasan berkenaan.
Katanya, ketiadaan data rasmi menyukarkan usaha pihak berkuasa menjejaki pesalah terutama dalam kalangan individu yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kalau ada pendataan yang lengkap, contohnya berapa jumlah kehadiran PTI di setiap kampung setiap bulan atau tahun, kita boleh nilai sama ada angkanya menurun atau meningkat.
“Kalau meningkat, kita perlu bertindak segera. Tapi jika tiada data, susah untuk kita ambil tindakan dan akhirnya jenayah terus berlaku tanpa sebarang penyelesaian,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Pemimpin Masyarakat di sini, baru-baru ini.
Seramai 140 peserta terdiri daripada Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung serta pemimpin masyarakat sekitar menghadiri seminar berkenaan yang dianjurkan buat julung kali oleh MAN Semporna sejak penubuhannya pada tahun 1957.
Asmarah yang juga pengerusi penganjur berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi mewujudkan sistem data berpusat melibatkan populasi komuniti tanpa dokumen yang menetap di pesisir daerah itu.
Katanya, sekiranya data dapat dikumpul secara sistematik, agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat menjejaki mereka yang melakukan jenayah dengan lebih mudah.
“Bila tiada data, tiada identiti, pihak penguatkuasa pun sukar bertindak. Kita bimbang jika perkara ini dibiarkan, jenayah akan terus meningkat dan akhirnya penduduk tempatan juga yang menjadi mangsa,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar kerajaan memulakan proses dokumentasi terhadap komuniti Bajau Laut yang telah menetap turun-temurun di Semporna tetapi masih tidak memiliki pengenalan diri rasmi.
“Kalau mereka tidak layak dapat MyKad sekali pun, kenapa tidak diberi dokumentasi lain seperti rekod pengenalan tertentu?
“Kita jaga orang utan di Sandakan pun lengkap dengan tarikh lahir, berat badan dan dokumentasi. Inikan pula manusia, rakyat yang lahir di tanah ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan seharusnya lebih proaktif dalam mencari kaedah penyelesaian bersifat inklusif khususnya untuk komuniti seperti Bajau Laut yang sebahagiannya lahir dan membesar di perairan Semporna.
Selain Bajau Laut, Asmarah turut menyentuh mengenai nasib penduduk asal dari suku Bajau, Kadazan, Dusun dan Murut di Pantai Timur yang sehingga kini masih tidak mempunyai kad pengenalan walaupun berasal dari Sabah.
Katanya, antara punca utama adalah kekangan kewangan untuk ke bandar-bandar besar seperti Tawau dan Kota Kinabalu bagi menguruskan dokumen, menyebabkan ramai permohonan tertangguh atau terbantut.
“Kita harap Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) melalui Program MEKAR dapat memberi perhatian kepada masalah ini. Program turun padang perlu dipergiatkan di kawasan luar bandar,” katanya.
Sementara itu, Asmarah berkata, seminar berkenaan turut memberi fokus kepada usaha memperkasa peranan masyarakat dalam sektor pelancongan yang semakin berkembang di Semporna.
Katanya, kehadiran pelancong harian yang mencecah antara 2,000 hingga 3,000 orang seharusnya dimanfaatkan oleh penduduk tempatan agar mereka tidak terus menjadi pemerhati dalam industri berkenaan.
“Ramai penduduk kita tidak memiliki pulau tetapi mempunyai kawasan hutan bakau yang boleh dibangunkan sebagai produk eko pelancongan.
“Kita akan bekerjasama dengan jabatan kerajaan negeri untuk manfaatkan potensi ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan seminar berkenaan menampilkan kerjasama dengan PDRM, MKN dan tokoh akademik, Prof Dr Arbaat Hassan, bagi memberi pencerahan mengenai kepatuhan undang-undang dan pembangunan komuniti melalui pelancongan.
Menurut Asmarah, penganjuran seminar ini adalah langkah awal untuk menyatukan pandangan dan mencari penyelesaian tuntas terhadap isu yang telah berlarutan sejak sekian lama di Semporna.
“Kalau tiada tindakan serius, masalah ini tidak akan selesai. Kita mahu seminar ini menjadi titik permulaan kepada pendekatan baharu yang lebih tersusun dan berfakta.
“Dengan adanya pendataan dan kerjasama rentas agensi, saya yakin banyak perkara dapat diselesaikan secara berperingkat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Daerah Semporna, OKK Marisa @ Mohd Risa Gabot menyifatkan seminar berkenaan sebagai program terbesar pernah dianjurkan oleh Mahkamah Anak Negeri setakat ini.
Katanya, penganjuran itu penting bagi memberi pendedahan dan maklumat tepat kepada pemimpin akar umbi dalam membantu pelaksanaan program kerajaan.
“Ini adalah program terbesar yang pernah kita anjurkan. Tujuan utama adalah memberikan pengetahuan kepada Ketua Anak Negeri, Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua Kampung dan masyarakat kampung.
“Tanpa maklumat yang betul, kita tidak akan dapat jalankan program kerajaan dengan sempurna dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata, Mahkamah Anak Negeri juga aktif turun ke kampung-kampung berdasarkan keperluan semasa, sejajar dengan perkembangan masa kini yang menyaksikan ramai pemimpin akar umbi memiliki latar belakang pendidikan dan pengetahuan.
“Ketua-ketua anak negeri sekarang sudah berilmu, jadi kita sebarkan lagi ilmu ini agar mereka dapat membantu kerajaan menyampaikan maklumat dan melaksanakan dasar di peringkat kampung dengan lebih baik,” katanya. – Utusan Borneo

https://shorturl.fm/CIQI0