SANDAKAN: Pendidikan Islam adalah asas penting dalam membina jati diri ummah dan menjadi benteng menghadapi cabaran zaman kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan berkata guru-guru adalah penyemai benih umat, manakala ibu bapa pula bertindak sebagai penyokong utama.
“Jika dua pihak ini bersatu hati dalam mendidik, maka lahirlah generasi masa depan yang bukan sahaja bijak, malah beriman, bertaqwa serta menjadi generasi penyumbang kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Mahabbah Syawal 1446H di Sekolah Rendah Ar Raudhah Sandakan, di sini, baru-baru ini.
Dr. Aliakbar turut menyentuh peranan Sekolah Rendah Ar Raudhah sebagai sebuah institusi pendidikan Islam swasta yang lahir atas sokongan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, masyarakat, dan agensi kerajaan.
“Kewujudan SR Ar Raudhah sebagai sekolah Islam kedua di bumi Sandakan ini adalah nikmat besar yang harus disyukuri.
“Ia adalah sebagai satu bukti bahawa apabila umat Islam bersatu, Allah kurniakan pertolongan dan kejayaan,” katanya.
Beliau memuji usaha sekolah dalam melahirkan generasi anak-anak soleh dan solehah yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga mempunyai hubungan yang erat dengan Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sementara itu, Dr. Aliakbar merakamkan ucapan tahniah kepada barisan pendidik dan pengurusan sekolah atas usaha gigih dalam menjayakan majlis ini serta mengurus dan membangunkan sekolah hingga ke tahap hari ini.
“Saya berharap program seperti ini akan diteruskan setiap tahun sebagai platform penyatuan ummah dan pembinaan jati diri Islam dalam kalangan pelajar.
“Majlis Mahabbah Syawal SR Ar Raudhah bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi simbol kekuatan ukhuwah serta komitmen bersama dalam mendidik generasi Islam yang berilmu dan berakhlak,” katanya. – Utusan Borneo
