KUDAT: Persatuan Penduduk Kampung Tanjung Kapor, Kudat bertindak sebagai wadah memperjuangkan hak mereka sekali gus mampu memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.
Penasihat Persatuan, Datuk Abd Halim Yussof berkata, penubuhan ini membuktikan kesedaran tinggi dalam kalangan penduduk kampung dalam memperjuangkan hak mereka.
Katanya ini khususnya dalam berkaitan status tanah kediaman yang masih dikategorikan sebagai penempatan sementara.
“Penduduk mahu tanah kampung ini diwartakan sebagai tanah komuniti (komunal) atau diiktiraf sebagai perkampungan sah di sisi undang-undang.
“Ini penting untuk menjamin masa depan generasi akan datang sekali gus membolehkan kampung didiami memperoleh kemudahan disalurkan kerajaan termasuk bekalan elektrik serta air,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Abd Halim berkata, langkah mewujudkan persatuan ini juga menjadi jambatan antara penduduk dan pihak berkuasa bagi menyuarakan isu-isu tempatan termasuk kebajikan, pendidikan dan pembangunan kampung.
Menurut beliau lagi, persatuan seperti ini wajar diwujudkan di semua kampung pesisir seluruh Sabah bagi memastikan suara rakyat akar umbi terus kedengaran dan tidak dipinggirkan.
“Apabila kita bersatu dalam satu persatuan, suara kita lebih kuat, lebih tersusun dan mudah didengari. Ini masa untuk kita jaga kampung kita sendiri,” katanya lagi.
“Lebih membanggkan penduduk yang hadir menyuarakan harapan agar Persatuan Penduduk Kg Tanjung Kapor menjadi pemangkin perubahan.
“Ia bukan sahaja memperjuangkan hak tanah, tetapi juga membantu menyusun semula kampung agar lebih selamat, teratur dan harmoni,” katanya. – SNT
