‘Pengawasan luar biasa’ ke atas calon Warisan, Junz Wong persoal tindakan SPR

KOTA KINABALU: Naib Presiden Warisan Junz Wong mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwanya menekan kempen parti itu dengan mengenakan sekatan ke atas amalan kempen rutin yang sebelum ini dibenarkan.

Katanya, sepanjang 18 tahun berkecimpung di arena politik beliau belum pernah melihat SPR ‘berkelakuan’ seperti itu.

“Pegawai SPR ekori calon-calon kami dengan kamera ke mana-mana, rakam segalanya. Malah, mereka nasihati calon kami agar tidak terlalu banyak berinteraksi dengan orang ramai.

“Ini kali pertama dalam hidup saya pilihan raya terasa begini. Terasa pelik. Ke mana sahaja kami pergi, mereka ada,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Beliau memberi contoh satu insiden di Hilltop di mana pegawai SPR didakwa cuba menghentikan ceramah parti itu atas alasan calon Warisan Likas tidak dibenarkan berucap di Luyang.

“Jadi saya tanya, bagaimana pula dengan (calon DAP) Datuk Phoong Jin Zhe? Beliau calon Likas tetapi ada juga berucap di Sandakan dan Tawau.

“Apabila kami minta SPR menjelaskan mengenai peraturan tersebut, mereka gagal tunjuk sebarang bukti hitam putih. Akhirnya, mereka benarkan kami teruskan program,” katanya.

Junz juga mendakwa SPR turut menghalang calon Warisan daripada makan bersama-sama penduduk kampung, walaupun ia dibenarkan sebelum ini.

“Dulu tidak ada masalah untuk calon makan selepas acara, tetapi kini kami diberitahu supaya meninggalkan majlis jika ada makanan dihidangkan,” katanya.

Keadaan itu menurut beliau mengelirukan dan menimbulkan salah faham kerana orang kampung akan menganggap calon itu sombong kerana mereka tidak tahu mengenai sekatan yang timbul secara tiba-tiba itu.

Juzn yang bertanding bagi mempertahankan kerusi DUN Tanjung Aru bagi penggal ketiga berkata, Warisan tidak membantah peraturan tersebut, sebaliknya mempersoalkan penguatkuasaan yang tidak saksama.

“Kami hanya mahu SPR kuat kuasa peraturan secara adil bagi semua pihak, bukan hanya kami,” katanya.

“Kami bukan mengadu, kami cuma mahukan keadilan. Saya tidak salahkan pegawai-pegawai itu, mereka hanya menurut perintah. Namun tekanan seperti ini tidak perlu,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *