SEMPORNA: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya diminta berani buat perubahan kepimpinan pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) akan datang.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Hassan A Gani Pg Amir berkata, ia bagi memastikan supaya pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Katanya, DUN Bugaya sudah berada di bawah pentadbiran Parti Warisan (WARISAN) sejak 2018, namun masih jauh ketinggalan berbanding kawasan lain.
“Sebelum ini parti-parti yang memerintah di daerah Semporna belum lagi membawa sebarang perubahan terutamanya di kawasan Bugaya.
“Walhal pada masa itu ada beberapa pemimpin dari Semporna telah memegang jawatan di peringkat Persekutuan termasuk Ketua Menteri dan Timbalan Ketua Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Bugaya 2025 di Dewan Masyarakat Semporna, pada Sabtu.
Hassan menegaskan, hala tuju perjuangan parti yang jelas menjadikan Gagasan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah, termasuk pengundi di Bugaya.
“Sekiranya rakyat memberi mandat kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), saya yakin Semporna akan menerima nikmat pembangunan yang akan dilaksanakan oleh kerajaan akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bugaya, Marunda KK Ampong turut menyeru penduduk di kawasan berkenaan agar berani membuat perubahan demi masa depan lebih baik.
“Contoh macam di Lihak-Lihak, satu perkampungan yang jauh dari Kunak dan Semporna, pusat kesihatan pun tiada, pondok polis tiada, kedai tiada.
“Pelajar juga terpaksa ke Semporna untuk beli buku dan kasut, tambang bas pun sudah melebihi RM20,” katanya.
Marunda berkata, sebagai pemimpin, mereka perlu prihatin terhadap situasi masyarakat setempat, apatah lagi kawasan itu mempunyai ramai pelajar dan sekolah yang aktif.
“Masyarakat Bugaya perlu bangkit, kita perlu buat perubahan dan kita mesti berani mengubah.
“Gagasan Rakyat Bugaya kini mempunyai sebanyak 87 cawangan dengan keahlian mencecah 6,000 orang, satu petunjuk bahawa sokongan terhadap parti itu semakin meningkat menjelang PRN17,” katanya. – Utusan Borneo
