KUALA LUMPUR: Kerja penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Sabah akan dilaksanakan berdasarkan tahap kritikal kerosakan yang dikenal pasti menerusi penilaian menyeluruh, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
BERNAMA memetik Ahmad sebagai berkata penilaian itu penting bagi memastikan kos penyelenggaraan dapat dikurangkan dalam jangka masa panjang.
“KKR (Kementerian Kerja Raya) sentiasa komited memastikan jalan di Sabah diselenggara dengan sempurna mengikut peruntukan tahunan telah dikhususkan. Namun begitu, kementerian turut menyedari wujud keperluan kewangan dan teknikal yang mendesak di beberapa daerah di Sabah.
“Justeru, usaha sedang dijalankan bagi meneliti serta menyediakan peruntukan diperlukan supaya setiap projek penyelenggaraan yang sedang dan akan dilaksanakan dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi KKR di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam masa sama, Ahmad memaklumkan kerajaan sedang mengadaptasi teknologi turapan baharu yang mampu meningkatkan mutu serta ketahanan permukaan jalan bagi memastikan jangka hayat lebih panjang.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah juga akan mengenal pasti laluan utama yang memerlukan perhatian segera termasuk kerja penurapan jalan berlubang, pemasangan lampu jalan di kawasan berisiko tinggi serta papan tanda keselamatan jalan raya.
