LAHAD DATU: Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak menegaskan bahawa perjuangan hak Sabah bukanlah milik eksklusif mana-mana parti tempatan, tetapi adalah tanggungjawab bersama seluruh rakyat Sabah yang mahu melihat masa depan negeri ini terbela.
Katanya, sering terdapat tanggapan seolah-olah hanya parti tempatan yang layak bercakap soal hak Sabah padahal ia adalah perjuangan yang dimiliki oleh semua rakyat Sabah, bukannya hak mutlak mana-mana parti.
Salleh yang juga mantan ketua menteri Sabah berkata berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat-Mesyuarat Cawangan Berkelompok UMNO Bahagian Lahad Datu semalam. .
ADUN Usukan itu turut menekankan bahawa parti politik sama ada tempatan atau pun nasional, hanyalah wadah perjuangan. Apa yang penting ialah keikhlasan dan kemampuan pemimpin membawa suara Sabah ke peringkat yang lebih tinggi.
“Memang ada parti seperti WARISAN, PBS, STAR dan PGRS yang fokus pada isu negeri. Tetapi kita jangan lupa, parti seperti UPKO dan PBRS juga merupakan parti tempatan yang memilih untuk menyertai gabungan nasional demi menjamin suara Sabah lebih didengari di peringkat pusat,” katanya.
Salleh turut menekankan bahawa isu MA63, hasil negeri dan autonomi kini bukan lagi perbincangan pinggiran. Ia telah diangkat ke peringkat Persekutuan — dimasukkan dalam Perlembagaan, dibincang dalam kabinet, dan dijadikan agenda bersama oleh kerajaan perpaduan.
Beliau turut merujuk kepada pengalaman Indonesia, di mana parti nasional seperti PDIP dan Golkar berjaya memperjuangkan autonomi khas wilayah seperti Aceh dan Papua melalui saluran nasional.
“Apa yang rakyat Sabah mahukan hari ini bukan soal siapa lebih ‘Sabah’ atau lebih ‘tempatan’. Yang penting ialah siapa yang benar-benar ikhlas, stabil dan mampu melaksanakan janji,” katanya lagi.
Salleh dalam ucapannya turut menyeru ahli UMNO agar terus bekerja keras memperkukuh parti di peringkat akar umbi, khususnya dalam menghadapi cabaran politik semasa dan usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO.
Berita asal: Jesselton Times
