Perkampungan baharu Rumah SMJ di Tongod – Masiung

TONGOD: Tongod bakal mencatat rekod sebagai daerah pertama di Sabah menyediakan kawasan khas untuk tapak perkampungan baharu bagi menempatkan rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) secara terancang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Masiung Banah berkata, pelan itu merupakan kerangka baharu hala tuju SMJ yang dicadangkan untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut pada tahun hadapan.

“Saya telah mengarahkan Pegawai Daerah dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) untuk mengenal pasti kawasan strategik untuk diwartakan sebagai perkampungan baharu SMJ.

“Kita yakin sebaik sahaja kerajaan negeri pada hari dapat membentuk semula kerajaan baharu, maka perkampungan SMJ ini akan diwujudkan sebagai modul pertama di Sabah,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, jika usaha membina penempatan baharu itu menjadi realiti, maka langkah mewujudkan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik akan lebih mudah dan terancang.

Selain itu katanya, apabila bilangan rumah SMJ semakin bertambah dari tahun ke tahun, kerajaan lebih mudah menempatkan kemudahan awam seperti dewan, tabika dan klinik di kawasan terbabit.

Pada masa ini katanya, Kerajaan Negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, memperuntukan 40 buah rumah setiap DUN dengan kos RM3.2 juta.

Katanya, bantuan rumah SMJ yang diperkenalkan kerajaan negeri sekarang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Sabah yang berkelayakan. – SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *