KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Bung Moktar Radin menyambut baik kenyataan terbuka yang menyeru pemimpin-pemimpin Sabah bersatu demi kepentingan negeri dan rakyat.
Katanya, UMNO Sabah menyokong usaha yang menjurus ke arah kestabilan politik dan kemajuan rakyat.
“Namun penting untuk kita berpijak pada asas yang benar dan tidak mengabaikan fakta sejarah yang telah membentuk perjalanan negeri ini.
“Realitinya, dari tahun 1963 hingga 1994, negeri Sabah telah ditadbir oleh parti-parti tempatan. Tempoh itu hanya membawa sedikit kemajuan kerana parti-parti tempatan kerap bertelingkah dan berebut kuasa sehingga tumpuan lebih kepada mengurus politik, bukan mengurus pembangunan negeri dan rakyat,” katanya.
Menurutnya, walaupun negeri ini mempunyai sumber dan hasil yang banyak, namun ia tidak disalur ke arah kemajuan.
“Banyak kawasan luar bandar ketinggalan, prasarana yang daif, kadar kemiskinan terus bertambah dan tiada pelan pembangunan yang tersusun kerana kerajaan kerap bertukar ganti.
“Ini berlaku ketika era parti-parti tempatan memerintah negeri Sabah selama hampir 40 tahun,” katanya.
Bung Moktar berkata perubahan dan kestabilan politik hanya berlaku apabila Barisan Nasional (BN) mengambil alih pentadbiran pada tahun 1994.
Beliau berkata dengan adanya kestabilan, kerajaan BN dapat beri tumpuan kepada pembangunan ke seluruh pelusuk Sabah.
“Kita bina infrastruktur asas seperti jalan raya, sekolah dan hospital. BN bina universiti, rangkaian jalanraya termasuk Pan Borneo.
“Pembangunan luarbandar juga rancak semasa pemerintahan BN selama 24 tahun. Keupayaan untuk membawa pembangunan ini bukan datang daripada slogan, tetapi hasil kestabilan, pengalaman, dan rangkaian pentadbiran yang mantap antara negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO Sabah tidak menolak prinsip perkongsian kuasa, reformasi parti dan kepimpinan berintegriti.
Malah, pihaknya telah membuktikan bahawa pentadbiran yang sistematik dan berpandangan jauh mampu menghasilkan kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Dalam usaha menyeru perpaduan, kita juga perlu bersikap adil terhadap sejarah supaya kesilapan lama tidak diulang atas nama semangat baharu.
“UMNO Sabah akan terus komited dalam memperjuangkan hak-hak negeri di bawah MA63, memperkukuh kestabilan politik, dan memastikan rakyat Sabah mendapat layanan adil dan saksama dalam kerangka Persekutuan Malaysia,” katanya.
Menurutnya, perpaduan politik Sabah tidak akan tercapai hanya melalui kenyataan umum.
Sebaliknya ia mesti dibina melalui dasar yang jelas, pentadbiran yang stabil, dan keikhlasan dalam berkhidmat untuk rakyat. – Utusan Borneo
