Persaingan strategik perlu dikawal demi perpaduan koalisi

KOTA KINABALU: Koalisi politik harus kekal bersatu dan mengelakkan pertembungan sesama sendiri dalam menghadapi pilihan raya, demi memastikan kemenangan strategik dan mengelakkan perpecahan undi, kata Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak.

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, situasi paling ideal dalam sesebuah gabungan politik adalah apabila hanya satu calon dikemukakan bagi setiap kawasan. Ini membolehkan mesej yang jelas disampaikan kepada pengundi serta mengukuhkan kekuatan gabungan dalam menentang lawan.

Namun, beliau mengakui realiti politik kadang kala mencetuskan cabaran dalam mencapai kata sepakat, terutamanya di kawasan tertentu yang menyaksikan persaingan dalaman mengenai parti atau calon yang patut diberi laluan.

“Ketidaksefahaman ini boleh membawa kepada kemunculan calon bebas tajaan, tindakan protes senyap dan ketegangan dalaman yang akhirnya boleh merosakkan keseluruhan strategi koalisi,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook hari ini.

Bagi menangani situasi seperti ini, Salleh yang juga ADUN Usukan dan Bendahari UMNO Sabah mencadangkan agar “persaingan mesra” secara terkawal dipertimbangkan – namun hanya sebagai langkah terakhir selepas semua saluran rundingan digunakan.

Tambah beliau, pendekatan ini tidak wajar dijadikan kebiasaan dan perlu diurus dengan penuh disiplin serta kepekaan politik.

Salleh turut menekankan bahawa persaingan mesra tidak sepatutnya dibenarkan di kawasan yang boleh memberikan kelebihan kepada pihak lawan akibat perpecahan undi.

“Keputusan membenarkan pertandingan di sesuatu kawasan mesti berdasarkan data dan analisis politik yang menyeluruh, bukan didorong oleh emosi atau tekanan sebelah pihak,” ujarnya.

Salleh turut mengingatkan bahawa jika persaingan sedemikian berlaku, semua parti dalam gabungan mesti menunjukkan komitmen jangka panjang terhadap perpaduan dan bersedia menerima keputusan rakyat.

Beliau menyimpulkan bahawa di kebanyakan kawasan, hanya seorang calon patut diketengahkan bagi mewakili koalisi.

Langkah ini, katanya, bukan sahaja mencerminkan kesatuan dan kekuatan, tetapi juga memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa gabungan tersebut bersedia untuk memimpin dengan mandat yang kukuh dan jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *