Perubahan tuntut tindakan, bukan kata-kata – Salleh

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah merangkap ADUN Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa perubahan tidak akan berlaku hanya dengan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan yang nyata.

Menurut beliau, ramai yang pandai bercakap namun tidak semua sanggup turun padang untuk melaksanakan kerja. Tegasnya, sebarang usaha memperbaiki keadaan perlu bermula daripada dalam komuniti itu sendiri tanpa menunggu pihak lain.

“Kerja yang ikhlas tidak perlu ditonjolkan. Apa yang lebih penting adalah hasil yang memberi manfaat kepada rakyat. Selalunya, tindakan yang dilakukan secara senyap lebih bermakna,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

Kata mantan ketua menteri Sabah itu lagi, rakyat tidak menuntut kesempurnaan daripada pemimpin, tetapi mereka mahu pemimpin hadir bersama, memahami realiti sebenar serta membantu sedaya mungkin.

“Kerja bukan untuk dikenang atau dipuji. Ia amanah yang mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Apa yang rakyat akan ingat bukan kata-kata, tetapi tindakan yang sudah dilakukan,” jelas beliau.

Salleh turut menekankan bahawa usaha membantu sesama masyarakat bukanlah kerana terpaksa, tetapi kerana kesedaran bahawa membina masa depan adalah tanggungjawab bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *