Politik kaum kerabat kembali menjadi warna utama dalam Pilihan Raya Umum Negeri Sabah ke-ke-17 apabila calon-calon yang dinamakan semalam sebahagiannya mempunyai pertalian keluarga, walaupun sesetengahnya masuk ke gelanggang dengan baju parti yang berbeza.
Fenomena ini, walaupun bukan perkara baharu dalam landskap Sabah, kali ini muncul dengan skala yang lebih ketara apabila dinasti politik besar dan kecil sama-sama menghantar wakil ke gelanggang PRN.
Di Pitas, drama politik keluarga terserlah apabila calon BN-UMNO, Datuk Bolkiah Ismail, berdepan abangnya sendiri, Datuk Harun Ismail dari Warisan, dalam usaha menewaskan penyandang daripada GRS, Datuk Ruddy Awah, dalam pertandingan enam penjuru. Situasi ini menjadikan Pitas antara kerusi yang paling diperhatikan, bukan sahaja kerana pertembungan keluarga tetapi juga kerana perebutan pengaruh antara tiga blok politik besar: BN, GRS dan Warisan.
Kerusi Inanam pula merekodkan pertandingan yang sesak dengan 13 penjuru, melibatkan dua adik-beradik—Shone Eric Jr (Bebas, di bawah Gelombang Hitam) dan Edna Jessica Majimbun (Warisan). Kepadatan calon, termasuk Datuk Peto Galim yang merupakan penyandang, menjadikan Inanam medan pertarungan kompleks yang menguji kekuatan jaringan peribadi, pengaruh tempatan serta tahap persiapan jentera masing-masing.
Pertembungan sesama keluarga turut berlaku di Nabawan dan Kukusan. Di Nabawan, bekas pemain bola sepak negeri, Jekerison Kilan yang bertanding atas tiket PKDM, akan berhadapan dengan abangnya Junilin @ Jubilin dari UPKO dalam saingan sembilan penjuru. Sementara itu, di Kukusan, calon BN Chaya Sulaiman bakal bertanding menentang abangnya, Ma’mun Sulaiman daripada Warisan dalam pertandingan sepuluh penjuru. Pertembungan ini memperlihatkan bagaimana strategi parti untuk memancing pengaruh keluarga besar di kawasan pedalaman dan separa bandar diterjemahkan ke dalam senarai calon.
Di Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari yang mempertahankan kerusi itu sebagai calon Bebas akan dicabar oleh adiknya Awang Hussaini (PKR). Keadaan berbeza di Tanjung Keramat apabila penyandang, Datuk Shahelmey Yahya tidak bertanding, tetapi GRS mempertaruhkan adiknya Shah Alfie Yahya di kerusi berkenaan – yang dimenangi Shahelmey atas tiket BN-UMNO pada PRN 2020.
Fenomena kerabat bukan sahaja melibatkan persaingan adik-beradik, tetapi juga dalam kalangan rumpun keluarga. Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mempertahankan kerusi Usukan misalnya, dicabar oleh dua pupunya Isnaraissah Munirah Majilis, sekali gus mencerminkan dinamika kuasa dalam keluarga politik yang berpengaruh di Kota Belud.
Di Liawan, penyandang Datuk Annuar Ayub Aman- dahulu daripada STAR dan kini bertanding sebagai ahli langsung GRS – berdepan sepupunya sendiri, Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi daripada BN. Kedua-duanya juga merupakan anak saudara kepada Tun Musa Aman, menjadikan perebutan kerusi Liawan bukan sekadar persaingan parti, tetapi juga ujian kekuatan dua cabang keluarga besar Aman yang mempunyai sejarah panjang dalam politik Sabah. Seorang lagi adik beradik Annuar iaitu Mohd Ishak Ayub Aman pula bertanding di Bingkor atas tiket STAR.
Dua anak Musa sendiri turut turun ke gelanggang: Datuk Yamani Hafez di Sindumin atas tiket PKR dan adiknya Hazem Mubarak di Sungai Manila sebagai calon GRS, manakala menantu Musa, Datuk Arifin Arif mempertahankan DUN Membakut.
Di Bongawan, adik Musa, Tan Sri Anifah Aman sekali lagi mencuba nasib bagi merampas kerusi yang disandang Dr Daud Yusof (Warisan) itu.
Keluarga Apdal juga tidak kurang menonjol apabila presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, sekali lagi mempertahankan Senallang, sementara adiknya, Datuk Yusof Apdal, bertanding di Silam. Penyertaan mereka melengkapkan dominasi keluarga Apdal di kawasan pantai timur Sabah, memperlihatkan kesinambungan pengaruh mereka sejak era awal pembentukan Warisan. Keluarga ini turut diwakili generasi muda melalui anak saudara Shafie, Jamil Hamzah di DUN Bugaya, kerusi yang dimenanginya atas tiket Warisan pada pilihan raya kecil 2022.
Di blok lain pula, keluarga Bahanda menghantar tiga beradik dalam tiga platform berbeza. Datuk Wetrom Bahanda bertanding atas tiket PKDM di Matunggong, manakala adiknya Datuk Redonah Bahanda menyarung warna GRS di Bandau. Seorang lagi adik-beradik mereka, Verdon Bahanda, pula memilih untuk bertanding sebagai calon Bebas-Gelombang Hitam di Tanjong Kapor.
Keluarga Yong yang sejak era 1990-an dikenali sebagai antara dinasti politik paling berpengaruh di Sabah, turut meneruskan legasi mereka melalui generasi kedua. Yit Jee Yong di Likas dan Yvonne Yong di Segama masing-masing bertanding atas tiket SAPP dilihat sebagai kesinambungan kepimpinan Datuk Yong Teck Lee yang masih mempunyai akar politik di kawasan bandar. Penyertaan kedua-dua anaknya dalam PRN kali ini membuktikan bahawa SAPP, walaupun tidak lagi sekuat era kegemilangannya, masih mengekalkan struktur keluarga politik yang berfungsi dan mempunyai berpengaruh.
Bagaimanapun, daripada semua yang tersenarai, yang paling menjadi tumpuan ialah Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia , dan isterinya Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana, yang masing-masing turut dicalonkan atas tiket GRS-USNO; Pandikar di DUN Pintasan, manakala isterinya pula di DUN Sekong.
Keseluruhan perkembangan ini menggambarkan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah bukan sahaja medan pertarungan antara parti, blok gabungan atau manifesto, tetapi juga antara keluarga-keluarga politik yang telah sekian lama bertapak dalam struktur kuasa negeri. Kehadiran mereka dalam jumlah yang begitu besar menjadikan PRN kali ini bukan sekadar demokrasi pilihan raya, tetapi sebuah “pesta” perebutan warisan politik di mana pengaruh keluarga, hubungan akar umbi, dan sokongan komuniti memainkan peranan sama penting, jika tidak lebih besar, daripada kekuatan parti itu sendiri.
