Pilih pemimpin yang bawa politik kasih sayang

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menyeru rakyat Sabah khususnya di Sandakan untuk memilih pemimpin yang membawa politik kasih sayang, bukan politik kebencian atau permusuhan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Sabah maju kita untung, Sabah mundur kita rugi, harapan kita agar usaha membangunkan negeri ini diteruskan melalui program-program yang merakyatkan dan memperkukuh institusi kekeluargaan seperti ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Keluarga Sandakan di Dewan Serbaguna Libaran, kelmarin

Menurutnya, program yang dianjurkan bersama pelbagai agensi kerajaan dan NGO itu adalah lambang kesepakatan dan wajar diteruskan pada masa akan datang.

“Perbezaan bangsa, kaum dan wilayah bukanlah penghalang kepada keharmonian, malah ia merupakan rahmat daripada Allah SWT untuk saling berkenalan dan memperkukuh silaturrahim,” ujarnya.

Turut hadir memeriahkan karnival adalah Ahli Parlimen Temerloh, Pahang, Salamiah Mohd Nor, ADUN Bota, Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad, Setiausaha PAS Sabah, Sahar Abdul Majid dan Ketua Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu.

Karnival yang dikunjungi lebih 500 komuniti Sandakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim dan mewujudkan hubungan sosial yang sejahtera terutamanya penduduk di Pantai Timur Sabah.

Antara acara utama yang berlangsung ialah pertandingan mewarna, set makanan tradisi, hiasan kek kreatif, timbang bola, jaring bola, Kupi-kupi bersama Ustazah Asma Hussin, Free Market, gerai jualan dan pelbagai pameran agensi kerajaan dan NGO.

Selain itu, aktiviti seperti derma darah, pemeriksaan kesihatan percuma, kereta berhias, persembahan nasyid, silat, dan aktiviti memanah tradisional turut merancakkan suasana karnival.

Para pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah dan pelbagai hadiah menarik melalui pertandingan yang dianjurkan. – HARAKAHDAILY 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *